Raya: Tempahan inap desa penuh

Raya: Tempahan inap desa penuh

JULIANA Hassan mengemas bilik tidur di sebuah rumah homestay yang ditempah sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kuala Nerus, Terengganu. – UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kebanyakan inap desa di negeri ini penuh ditempah untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri sejak dua minggu sebelum Ramadan lagi.

Seorang pengusaha inap desa, Juliana Hassan berkata, dia tidak menang tangan me­nguruskan tempahan diterima daripada orang ramai yang ingin menginap mengikut bajet dan tarikh dikehendaki pelanggan.

Menurutnya, lapan banglo, tiga rumah teres dan lebih 20 bilik yang diuruskannya di sekitar Kuala Terengganu, Marang dan Kuala Nerus kini ditempah hingga 15 Syawal.

“Pada tahun ini, trend menginap di inap desa semakin memberangsangkan kerana kadar tempahan meningkat berganda berbanding tahun lalu.

“Namun, kami tidak ambil kesempatan menaikkan harga kerana faham situasi ekonomi semasa yang semakin mencabar pada musim perayaan.

“Alhamdulillah, setakat ini setiap tempahan telah dibayar depositnya dan sistem tempahan yang disediakan juga mewujudkan situasi menang-menang untuk pelanggan dan kami sebagai penyelia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Secara purata, harga yang dikenakan untuk menyewa rumah teres ialah antara RM250 hingga RM300 manakala banglo (RM500 hingga RM700) untuk satu malam bergantung pada lokasi dan kemudahan disediakan.

Seorang lagi pemilik inap desa, Mohd. Saiful Hafiz Tarmizi, 44, berkata, lima rumahnya habis ditempah dan bayaran penuh sudah dijelaskan pelanggan setakat ini.

“Saya pun lebih suka mereka bayar penuh sebagai komitmen mahu menyewa mengikut janji yang dibuat, iaitu bilangan hari bagi mengelak sebarang perubahan pada saat-saat akhir.

“Ada yang tempah selama seminggu kerana banyak rumah terbuka dan kenduri di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus pada Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Tak kurang juga yang inginkan kemudahan untuk warga emas, orang kurang upaya serta kolam renang untuk tarikan anak-anak mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×