PETALING JAYA: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyampaikan sumbangan kepada dua penghibur tanah air, iaitu penyanyi era 80-an, Zaiton Sameon dan pengarah serta pelakon, Din Glamor melalui program Ziarah Seni Madani Finas, kelmarin.
Fahmi berkongsi perkara itu dalam hantaran di Facebooknya semalam yang memaklumkan, kedua-duanya sedang menghadapi masalah kesihatan.
Selain itu, Fahmi menyampaikan sumbangan kepada bekas personaliti sukan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Jalil Mat Dom dan bekas Juruhebah Suara Malaysia RTM, Mohamed Ariff Esa di kediaman mereka di Ampang, Selangor.
“Semoga sumbangan tidak seberapa yang dihulur sedikit sebanyak menceriakan mereka, lebih-lebih lagi dalam menyambut ketibaan Syawal yang bakal menjelang,” katanya.
Dalam hantaran berasingan, Fahmi turut menyampaikan sumbangan kepada anak seniwati legenda negara, Datuk Sarimah Ahmad iaitu pengarah dan pelakon, M. Jamil.
Jamil, 59, kini mengalami tekanan emosi dan kewangan selepas tidak mampu bekerja akibat serangan angin ahmar, enam tahun lalu.
“Beliau bergantung harap kepada bantuan badan kebajikan untuk meneruskan hidup dan membesarkan dua anaknya yang masih bersekolah,” katanya. – UTUSAN











