Pilih biduanita negara melalui proses undian yang telus

Pilih biduanita negara melalui proses undian yang telus

siti nurhaliza
SITI NURHALIZA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sistem undian yang telus mungkin diperlukan bagi menilai dan memastikan sama ada penyanyi Datuk Sheila Majid atau Datuk Seri Siti Nurhaliza lebih layak untuk menerima gelaran biduanita negara.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penyanyi senior, Datuk Khatijah Ibrahim berkata, perkara itu penting bagi mengelak salah faham atau pertikaian tanpa asas oleh semua pihak.

“Kelayakan itu mesti dilihat pada kriteria apa yang pernah mereka sumbangkan dalam industri muzik dan sejauh mana mereka pergi dalam membawa nama negara.

“Perkara itu mesti dikaji ke­rana kalau diikutkan ada ramai yang layak terima. Kalau ada undian dibuat, baru dapat kita lihat siapa yang berhak dapat terutama jika kriteria itu pada faktor senioriti.

“Saya ini tak kisah sangat benda-benda ini, tetapi kalau betul ada cadangan nak beri gelaran biduanita itu antara dua nama yang disebut itu, kena buat kajian dan undian,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Khatijah berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil untuk melaksanakan fasa awal bagi menganugerahkan gelaran Biduanita Negara kepada Siti Nurhaliza.

Bagaimanapun, timbul pertikaian ramai apabila nama Shiela Majid turut dianggap layak menerima gelaran tersebut.

Sementara itu, komposer dan penyanyi, Ajai, turut berpandangan bahawa penilaian yang telus dan adil harus dilakukan terlebih dahulu sebelum penganugerahan itu diberikan.

Pada masa yang sama, secara peribadi, Ajai menyifatkan ke­dua-dua penyanyi hebat itu la­yak menerima gelaran tersebut menerusi pencapaian kerjaya dalam bidang muzik masing-masing.

“Tetapi kena tengok apa kriteria yang diperlukan untuk anugerah besar seperti itu. Mesti ada prosedur operasi standard ( SOP) untuk menilai seseorang penyanyi itu.

“Jika penganugerahan itu dinilai kepada senarai pencapaian paling banyak maka ia lebih berat kepada Siti Nurhaliza. Jika dari SOP yang diperlukan dari segi senioriti, maka berat kepada Shiela.

“Tak perlu berdebat pun sebab yang penting kena adil, kena buat penelitian yang telus,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA), Ayob Abdul Majid, berpendapat, Siti Nurhaliza adalah individu tepat untuk menerima gelaran tersebut melihat kepada rekod cemerlangnya sebagai penyanyi yang dikenali setiap lapisan masyarakat.

“Antara Siti Nurhaliza dan Sheila Majid, saya berpendapat Siti lebih layak menyandang gelaran itu.

“Ini kerana Siti Nurhaliza merupakan artis yang diakui populariti dan keberadaanya oleh setiap golongan masyarakat tak kiralah mereka orang biasa, kelompok istana, yang berpendapatan rendah sehinggalah yang berduit sekalipun, semua­nya mengenali Siti Nurhaliza,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×