KOTA BHARU: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) berharap Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dapat mempercepatkan proses pembenihan awan di kawasan-kawasan jelapang milik agensi itu yang kini berdepan masalah kemarau berpanjang.
Pengerusinya Muhammad Husin berkata, secara dasarnya KPKM telah bersetuju selepas KADA mengemukakan permohonan berkait pembenihan awan pada 26 Mac lalu yang melibatkan Kota Bharu Utara, Kota Bharu Selatan, Pasir Puteh, Bachok serta Pasir Mas.
“Semalam, saya menerima maklum balas daripada pihak kementerian yang menyatakan mereka sudah membuat persiapan untuk proses berkenaan (Pembenihan awan) dan telah menghubungi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk membuat persediaan.
“Kita buat permohonan selepas mendapat cadangan daripada Task Force Kemarau yang dipengerusikan oleh Timbalan Pengurus Besar KADA, Mohd. Razif Abdullah dan ia telah dipersetujui oleh KPKM,” katanya kepada pemberita semasa sidang media pada Program Makan Colek Pengerusi KADA bersama pengamal media di sini malam tadi.
Muhammad memberitahu, buat masa ini pihaknya sedang menunggu pelepasan daripada KPKM dan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) yang menentukan masa yang sesuai untuk proses pembenihan awan dilaksanakan.
Katanya, berdasarkan laporan Task Force Kemarau, seluas 5,600 hektar daripada keseluruhan 26,833 hektar tanaman padi di bawah KADA mengalami kerosakan dengan 800 hektar musnah dan tidak dapat diselamatkan.
“Kita akan tengok kawasan mana yang sesuai dilaksanakan pembenihan awan namun keutamaan akan diberikan kepada kawasan Kota Bharu berkeluasan 2,000 hektar berikutan pengairan di kawasan itu bergantung sepenuhnya kepada Stesen Pam Kemubu.
“Saya rasa musim ini paling sesuai dilaksanakan pembenihan awan. Kita mempunyai awan yang banyak tetapi tiada hujan. Jadi saya harap KPKM mempercepatkan pelaksanaan proses pembenihan awan kerana masalah pengairan sudah sangat kritikal sekarang ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Muhammad berkata, KADA turut memohon peruntukan daripada KPKM untuk membina benteng sawah padi sebagai salah satu langkah penyelesaian jangka panjang.
“Kita juga sedang mencari tanah bersesuaian untuk membina takungan air dan akan dimohon dalam Rancangan Malaysia seterusnya. Sepatutnya setiap kawasan sawah perlu mempunyai sekurang-kurangnya satu takungan air,” katanya-UTUSAN










