Pelajar kolej vokasional maut ketika pulang bercuti

Pelajar kolej vokasional maut ketika pulang bercuti

KEADAAN motosikal ditunggang Muhammad Fadzri Aiman Mohd Fadli selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 121.5 Lebuhraya Utara Selatan (arah Selatan) malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT:  Seorang pelajar Kolej Vokasional Bukit Katil, Melaka maut selepas terlibat kemalangan dipercayai ketika pulang bercuti Hari Raya di Kilometer 121.5 lebuh raya utara selatan (arah selatan), malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintenden Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, Muhammad Fadzri Aiman Mohd Fadli, 20, disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 1.05 pagi tadi ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) dipercayai akibat kehilangan banyak darah berikutan kecederaan dialaminya.

Katanya, siasata awal mendapati mangsa yang berasal dari Taman Johor Jaya, Johor Bahru menunggang motosikal berseorangan dari arah Melaka menuju ke Johor Bahru dipercayai pulang bercuti.

“Ketika sampai di lokasi kejadian kira-kira pukul 10.30 malam, motosikal mangsa dikatakan bergesel dengan sebuah kereta yang memperlahankan kenderaan akibat masalah enjin dan menukar laluan ke lorong kecemasan.

“Akibat daripada itu, mangsa telah hilang kawalan dan terjatuh di lorong kanan lebuh raya, dalam masa sama sebuah kenderaan yang turut dari arah perjalanan sama dan berada di belakang tidak sempat mengelak sebelum melanggar mangsa,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Menurut Shahrulanuar, akibat kejadian itu mangsa telah mengalami kecederaan parah di kedua-dua kaki dan telah dikejarkan ke HSNI menggunakan ambulan.

Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh sehingga 10 tahun, dan denda tidak lebih RM20,000.

“Pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat agar dapat tampil membantu siasatan dengan hadir ke mana-mana balai polis berhampiran atau melalui Hotline Polis Kontinjen Johor di talian 07-2212999 atau melalui Hotline Polis IPD Batu Pahat di talian 07-4343999,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×