PETALING JAYA: Kem tinju negara hanya mempunyai satu peluang sahaja untuk mengintai tempat ke Sukan Olimpik Paris 2024 menerusi Kelayakan Dunia Ke-2 di Bangkok pada Mei ini.
Abdul Qaiyum Arifin yang akan bertarung dalam kategori 57 kilogram (kg) dan Mohd. Aswan Che Azmi bagi kategori 69kg menjadi sandaran negara ketika ini untuk menamatkan badi kemarau petinju negara ke temasya itu.
Kali terakhir Malaysia beraksi di pentas terbesar dunia itu menerusi Sapok Biki di Atalanta 1996.
Pun begitu, Presiden Persekutuan Tinju Malaysia (PTM), Datuk Iruan Zulkefli optimis kedua-dua petinju itu mampu mendapatkan tiket untuk layak ke Olimpik Paris pada Julai ini.
“Kami juga sedang mempersiapkan Abdul Qayyum dan Mohd. Aswan untuk menghadapi kelayakan Olimpik dan semestinya kami mengharapkan kemenangan akan dapat diberikan oleh kedua-dua atlet tersebut, ” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Selain itu, Iruan berkata, mereka juga dalam persiapan untuk menghadapi Sukan SEA yang bakal membuka tirai pada awal Disember 2025 di Bangkok, Thailand.
“Baru-baru ini kami baru sahaja selesai memilih atlet dalam kategori elite dan seramai 12 orang atlet telah terpilih untuk menjadi pelapis bagi sukan tinju,”jelasnya.
Beliau berkata, bagi tujuan itu PTM juga telah melantik Charoensook Supawit dari Thailand untuk menjadi ketua jurulatih baharu bagi membantu petinju negara dalam menghadapi kelayakan Olimpik itu.
Iruan yakin dengan kehadiran jurulatih dari Thailand tersebut mampu menjadikan prestasi pasukan Tinju negara berada dalam tahap yang lebih baik bagi menghadapi saingan kelayakan Olimpik Paris dan Sukan SEA di Bangkok.
Hanya empat petinju terbaik dalam kategori 57kg yang akan layak secara merit ke Olimpik manakala bagi 69kg hanya menyediakan enam tempat. – UTUSAN










