KUALA LUMPUR: Golongan wanita khususnya berstatus isteri dinasihatkan supaya tidak mengikut perasaan dan emosi sekiranya berdepan tekanan rumah tangga bagi mengelak perkara tidak rasional dilakukan sekali gus mengundang kesilapan di sisi agama.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia, Profesor Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor berkata, hasrat untuk membuat suami berasa cemburu dengan ‘berlakon’ menjalin hubungan cinta dengan lelaki lain juga adalah satu kesalahan kerana boleh mengundang fitnah.
“Suami isteri mesti menjaga hubungan rumah tangga. Isteri tidak boleh curang kepada suami dengan menjalin cinta, berhubungan mesra dan melakukan hubungan seksual seperti suami isteri.
“Ia dikhuatiri jatuh dalam bab zina kerana melakukan hubungan seksual tanpa hubungan sah. Kalau pun tidak terjadi seperti hubungan itu, tetapi matlamat untuk membuatkan suami cemburu atau menarik perhatian suami, semua ini tidak boleh,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Selain itu, kata Roslan, sekiranya isteri berasa tertekan dengan tindakan suami, mereka boleh menggunakan saluran yang betul kerana hak wanita dijamin dalam Islam.
“Apa yang isteri boleh lakukan adalah mengadu kepada kadi. Dalam konteks Malaysia, kadi biasanya Pegawai Tadbir Agama di daerah masing-masing. Jika lambat untuk dapat janji temu dengan kadi, bolehlah berbincang dulu dengan jurunikah di sesuatu kariah untuk mendapatkan nasihat awal.
“Jika suami melakukan kekasaran atau penderaan fizikal terhadap isteri, boleh laporkan ke pihak polis,” katanya. – UTUSAN










