KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sekali lagi mendengar tabiat ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low yang gemar mengaitkan dirinya dengan memetik individu berkuasa dan berpengaruh di seluruh dunia.
Bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan berkata demikian ketika menjawab soalan balas peguam bela, Tania Scivetti yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Kata Jasmine, beliau menyedari tabiat Jho Low itu namun tidak dapat mengesahkan nama-nama individu berpengaruh yang sering dipetik Jho Low.
Tania: Jho Low mempunyai kecenderungan untuk mereka cerita dan memetik nama?
Jasmine: Cerita rekaan saya tidak tahu, tetapi memetik nama ya.
Tania: Dari segi memetik nama, anda bersetuju bahawa Jho Low gemar melakukan tindakan sedemikian?
Jasmine: Ya, tetapi saya tidak tahu kebenarannya sama ada betul atau tidak.
Sebelum ini, bekas pengurus perhubungan AmBank juga saksi pendakwaan ke-41, Joanna Yu Ging Ping, memberitahu mahkamah, Jho Low pernah menyatakan dalam satu mesyuarat bahawa beliau mengenali dan akan mengadakan pertemuan dengan individu berpengaruh dari Kuwait), Perdana Menteri dan gabenor Bank Negara Malaysia (BNM).
Joanna turut mendakwa Jho Low memetik nama Putera Mahkota Saudi, Ratu Rania Jordan, Putera Turki Saudi dan warga Saudi yang dikaitkan dengan 1MDB, Tarek Obaid.
Sementara itu, Jasmine turut menolak dakwaan bahawa pertuduhan jenayah terhadapnya digugurkan apabila beliau boleh memberi keterangan terhadap Najib.
Tania: Pertuduhan terhadap anda di bawah Seksyen 179(c) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 tidak diteruskan terhadap anda kerana anda bersetuju memberi keterangan terhadap Najib yang memihak kepada pendakwaan?
Jasmine: Saya tidak bersetuju.
Jasmine bagaimanapun mengakui apabila kembali ke Malaysia dari Thailand pada Julai tahun lalu selepas meninggalkan negara selama lima tahun, beliau telah memberi maklum balas kepada pihak berkuasa Malaysia berhubung pertuduhan itu.
Bagaimanapun, wanita itu tidak pasti sekiranya pertuduhan terhadapnya telah ditarik balik atau tidak.
Pada 2018, Jasmine didakwa secara in absentia (tanpa kehadiran) di Mahkamah Sesyen Putrajaya mengikut Seksyen 179 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007, iaitu bersubahat menyalahguna AS$2.7 bilion daripada tiga bon 1MDB yang dijamin oleh bank pelaburan global, Goldman Sachs.
Ketika dituduh di mahkamah, kata Jasmine, beliau tidak dipanggil oleh pihak Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan tiada kenyataannya yang direkodkan.
Bagaimanapun, katanya, beliau telah menjawab kepada pihak berkuasa berhubung pertuduhan berkenaan sejak kembali ke negara ini.
Najib dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.27 bilion daripada 1MDB.
Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, bekas ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Bhd. cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, bekas menteri kewangan itu didakwa melakukan perbuatan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung hari ini. – UTUSAN










