PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini dalam fasa akhir untuk mencapai persetujuan perkongsian data mengenai pelarian dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkongsian data itu penting bagi memudahkan kerajaan melaksana langkah seterusnya dalam pengurusan pelarian di negara ini secara lebih komprehensif.
Beliau berkata, perkara itu dibincangkan dalam pertemuan dengan wakil Suruhanjaya Tinggi UNHCR, Thomas Albrecht di Parlimen pagi tadi.
“Perbincangan itu juga berkisar kepada aspek pembangunan kapasiti dan latihan agar kekuatan KDN dan UNHCR dapat digabungkan bagi memanfaatkan pengalaman pertubuhan itu mengurus pelarian di seluruh dunia,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Ditanya sama ada UNHCR menyatakan hasrat mengunjungi depot imigresen, Saifuddin Nasution berkata, KDN sedia membantu memudahkan permohonan UNHCR memandangkan pertubuhan itu menjangkakan ada tahanan bertaraf pelarian dan pemohon suaka dalam kalangan 13,000 orang tahanan di 20 depot imigresen diuruskan KDN.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata, Human Rights Watch (HRW) menyatakan ketidaksediaan mereka tanpa sebarang sebab untuk berjumpa berhubung dapatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu bahawa berlaku penderaan dan kematian di depot tahanan Jabatan Imigresen.
“Sehingga hari ini HRW masih menyatakan ketidaksediaan untuk berbincang dengan saya bagi berbincang tentang dapatan yang mereka laporkan dalam laporan mereka. Saya masih menunggu kerana libat urus seperti ini penting kalau-kalau mereka ada maklumat yang saya terlepas pandang.
“Jadi saya perlukan kerjasama mereka dan masih beri masa kepada mereka sehingga betul-betul bersedia untuk saya meneliti satu persatu butiran yang dimasukkan dalam laporan mereka seumpama berlaku torture (depot tahanan) yang menyebabkan kematian,” katanya.
Pada 8 Mac lalu, Saifuddin dilaporkan berkata, beliau bersedia mengadakan pertemuan dengan HRW berhubung dakwaannya bahawa berlaku penderaan dan kematian di depot tahanan imigresen yang diharapkan NGO itu dapat menunjukkan bukti serta senarai mereka meninggal dunia akibat didera ketika dalam tahanan seperti dalam laporan.
Laporan HRW yang dikeluarkan sebelum ini mendakwa tahanan dalam depot Imigresen diberikan layanan buruk dan berlaku pencabulan hak asasi manusia ke atas mereka. Laporan itu berdasarkan temu bual dijalankan terhadap 43 individu yang dikatakan pernah ditahan di depot imigresen.-UTUSAN










