Muhammad Hassan 'berlapang dada' beraya di rumah orang tua

Muhammad Hassan ‘berlapang dada’ beraya di rumah orang tua

MUHAMMAD Hassan termenung di hadapan biliknya mengenangkan nasib di usia emas terpaksa meraikan Aidilfitri tanpa ahli keluarga di Rumah Sejahtera Batu Bertangkup, Perlis semalam.- UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Setiap kali lebaran, antara detik yang paling dinantikan Muhammad Hassan, 85, meraikan kemeriahan sambutan Aidilfitri itu bersama ahli keluarga.

Namun, sejak tahun lalu, semua kegembiraan tersebut hanya tinggal kenangan apabila Muhammad kini terpaksa tinggal di rumah perlindungan orang tua di sini bagi menghabiskan sisa-sisa hidupnya.

Warga emas itu memilih tinggal Rumah Sejahtera Batu Bertangkup di sini selepas berpisah dengan isterinya pada Januari tahun lalu berikutan beberapa konflik yang timbul.

Memuatkan artikel berkaitan…

Luah Muhammad kepada Utusan Malaysia, selepas mengambil keputusan keluar daripada rumah di Beseri Dalam di sini, pada tahun lalu, dia kemudiannya menetap di rumah sepupu sebelum memilih untuk tinggal di Rumah Sejahtera ini.

“Saya memilih sendiri untuk menetap di sini kerana tidak mahu menyusahkan orang lain bagi menguruskan kehidupan saya,” katanya.

Menceritakan lebih lanjut, Muhammad mendakwa, konflik keluarga yang timbul sebelum ini adalah disebabkan dia tidak dapat bekerja kerana sering berdepan masalah kesihatan.

Dakwanya, keadaan itu menyebabkan dia tidak dapat menjalankan rutin kerja kampung yang dijalankan sebelum ini iaitu menanam sayur dan mengusahakan sawah padi.

“Disebabkan permasalahan itu, saya dan isteri sering bergaduh sehingga saya mengambil keputusan keluar dari rumah sekali gus meruntuhkan perkahwinan kami selama 30 tahun,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad berkata, sebelum ini, setiap kali Aidilfitri, dia dan ahli keluarga pastinya membuat pelbagai persiapan antaranya dengan menyediakan juadah makanan, kelengkapan pakaian raya dan barangan rumah.

Namun tahun ini, katanya, dia hanya dapat meraikan sambutan Aidilfitri bersama-sama penghuni Rumah Sejahtera memandangkan tidak lagi bersama-sama keluarga.

“Kami dikurniakan dua orang anak. Anak sulung lelaki kami kini tidak sihat dan sedang menjalani rawatan kesihatan mental di sebuah hospital sekitar Perak manakala anak perempuan kedua pula kini menetap bersama bekas isteri saya.

“Sudah semestinya bila tiba hari raya saya akan teringat keluarga, namun itu semua telah menjadi kenangan dan saya kena mulakan hidupkan baharu.

“Bagi saya, raya kali ini tiada pengharapan apa-apa dan saya bersyukur kerana masih ada kawan-kawan di sini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini