PETALING JAYA: Jumlah keseluruhan agihan keuntungan Lembaga Tabung Haji (TH) meningkat walaupun kadar agihan kekal pada 3.1 peratus untuk empat tahun berturut-turut sejak 2020, kata penganalisis.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, ini kerana agihan keuntungan itu membabitkan jumlah lebih tinggi sebanyak RM2.72 bilion pada 2023 berbanding RM2.65 bilion pada 2022.
Katanya, perkara itu juga dicapai dalam persekitaran kos mengerjakan haji terus meningkat dan TH perlu membiayai kenaikan kos mengerjakan haji yang naik setiap tahun termasuk melalui Bantuan Kewangan Haji.
“Kalau pada tahun 2019, kos menunaikan haji adalah RM22,900, tetapi pada tahun 2024 adalah RM33,300, meningkat berbanding RM30,850 tahun 2023.
“Pengenalan Bantuan Kewangan Haji Secara Bersasar oleh kerajaan pada 2023 diteruskan pada tahun ini, iaitu bayaran untuk B40 adalah sebanyak RM12,356 dengan subsidi yang ditanggung oleh TH sebanyak RM20,944 iaitu 63 peratus dari kos haji.
“Sementara itu, M40 pula adalah RM14,148, dengan subsidi RM19,152 seorang oleh TH,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau berkata, bantuan bayaran haji yang dikeluarkan TH adalah sebanyak RM265 juta pada 2023 dan jumlah bantuan kewangan haji dijangka meningkat bagi tahun 2024 berdasarkan kos kenaikan ke atas setiap jemaah haji.
“Bantuan secara bersasar ini dilihat berkesan bagi mengurangkan beban tanggungan TH yang terlalu tinggi dan perlu diseimbangkan kerana TH juga perlu membayar agihan keuntungan kepada hampir 8.7 juta pendepositnya,” ujarnya.
Mengulas mengenai pendirian TH untuk memberi tumpuan pada pelaburan domestik sejajar dengan aspirasi kerajaan, beliau berkata, TH mempunyai dua tanggungjawab utama iaitu menguruskan haji dan membayar agihan keuntungan.
Jelasnya, TH tidak mampu untuk merangkumi pelaburan yang berisiko tinggi dan jangka masa panjang dari segi pulangan kerana setiap tahun TH perlu memberi pulangan dividen (hibah) dan membiayai perbelanjaan haji.
“TH juga tidak boleh melabur secara jangka panjang seperti Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang hanya boleh dikeluarkan oleh penyimpannya apabila mereka mencecah umur yang telah ditetapkan.
“Pendeposit TH pulak boleh mengeluarkan simpanan mereka pada bila-bila masa dan ini secara langsung mengehadkan portfolio pelaburan TH, terutamanya dari segi kecairan simpanan atau tunai tersedia.
“Jesteru, TH mesti mempunyai kecairan yang cukup dan tidak terlalu terlebih komited dalam pelaburan jangka panjang secara besar-besaran,” ujarnya.-UTUSAN










