LSS5 buka peluang usahawan bumiputera bersaing

LSS5 buka peluang usahawan bumiputera bersaing

petra
Ir. Guntor Tobeng
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengumuman Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui Suruhanjaya Tenaga (ST) yang menawarkan kuota solar sebanyak 2,000MW melalui proses bidaan yang kompetitif di bawah program Ladang Solar Skala Besar 5 (LSS 5) turut membuka ruang kepada usahawan bumiputera bersaing dalam industri tenaga boleh baharu.

Usahawan bumiputera yang terlibat dalam industri itu menyifatkan ia sebagai langkah berani yang diambil oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof dalam memasukan agenda bumiputera dalam industri tersebut.

Menurut mereka, beliau berani membuka sisi baharu dalam industri TBB dengan memperuntukan kuota khas kepada bumiputera yang mana ia tidak pernah dilakukan sebelum ini.

Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn. Bhd., syarikat bumiputera yang terlibat dalam ladang solar dan pemasangan solar fotovoltaik, Datuk Ir. Guntor Tobeng berkata, sebelum ini tidak pernah ada pakej khas untuk bumiputera dalam pembinaan LSS.

“Tetapi dengan ke kekuatan politik yang beliau ada, keputusan ini diambil yang akan membuka dimensi baharu penglibatan usahawan bumiputera dan industri TBB.

“Manfaat daripada pengumuman ini juga akan turut dinikmati oleh pemain-pemain industri TBB bukan bumiputera melalui kolaborasi dalam melaksanakan pakej-pakej yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

LADANG solar. -GAMBAR HIASAN

ST baru-baru ini mengumumkan bidaan untuk kuota solar sebanyak 2,000MW melalui proses bidaan kompetitif di bawah program LLS 5 yang juga dikenali sebagai LSS Petra.

Dalam nota bidaan yang dikeluarkan, ST memberitahu ia menawarkan empat pakej iaitu untuk kapasiti hingga 10MW yang dikhususkan hanya untuk bumiputera.

Pakej 2 iaitu dari 10MW hingga 30MW pula untuk syarikat atau konsortium yang diperbadankan di Malaysia dengan syarat pemilikan sekurang-kurangnya 51 peratus pegangan ekuiti Bumiputera.

Bagi Pakej 3 dan Pakej 4 iaitu antara 20MW hingga 500MW untuk syarikat yang diperbadankan di Malaysia dengan syarat pemilikan sekurang-kurangnya 51 peratus pegangan pegangan ekuiti tempatan atau konsortium yang terdiri daripada sekurang-kurangnya satu syarikat tempatan yang diperbadankan di Malaysia dan syarikat asing dengan pegangan ekuiti tempatan dalam konsortium sekurang-kurangnya 51 peratus.

Menurut Guntor, sebelum ini syarikat-syarikat bumiputera yang ada keupayaan dan kepakaran sukar untuk masuk tender disebabkan mereka mempunyai limitasi daripada segi modal.

Katanya, dengan syarat-syarat yang ditetapkan berdasarkan pakej ini, syarikat-syarikat bumiputera boleh mencari rakan kongsi dari kalangan bukan bumiputera yang mana ini akan mewujudkan situasi menang-menang kepada semua pihak.

Untuk Pakej 3 dan 4 pula katanya, ia membantu mengantarabangsakan syarikat-syarikat TBB tempatan melalui kerjasama dengan pemain-pemain di peringkat antarabangsa.

“Bagi melaksanakan projek ladang solar 500MW ia memerlukan modal lebih RM1 bilion. Jadi, syarikat antarabangsa boleh melabur dalam syarikat-syarikat tempatan termasuk milik bumiputera yang ini akan menggalakkan aliran masuk modal luar selain akan berlaku pemindahan teknologi,” katanya.

Malah katanya, untuk membangunkan ladang solar dengan kapasiti 10MW ia memerlukan modal sekitar RM40 juta yang mana suntikan modal dari luar sudah tentu akan membantu syarikat-syarikat tempatan.

“Langkah ini penting untuk buka ruang pelabur luar dalam TBB datang melabur dalam syarikat tempatan dan menjalin kolaborasi sebagai pemula untuk membangunkan ladang solar.

“Kami usahawan industri TBB bumiputera amat berterima kasih kepada Menteri Petra kerana mengambil langkah berani memastikan agenda ekonomi bumiputera turut diangkat dalam industri ini.

“Ini adalah langkah berani yang pertama kali dilakukan oleh mana-mana kepemimpinan kerajaan yang melibatkan usahawan bumiputera dan industri TBB,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×