KDN sita al-Quran tiada perakuan lebih RM3 juta

KDN sita al-Quran tiada perakuan lebih RM3 juta

NIK Yusaimi Yussof menunjukkan barang rampasan ketika sidang media berkaitan Ops Mulia di Kompleks Setia Perkasa di Putrajaya.. - UTUSAN/AIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) bulan lalu berjaya menyita pelbagai item al-Quran tiada perakuan bernilai lebih RM3 juta.

Menurut Setiausahanya, Nik Yusaimi Yussof, kejayaan tersebut dicapai menerusi Ops Mulia bersempena bulan Ramadan ekoran trend permintaan tinggi masyarakat Islam terhadap al-Quran dengan sejumlah 1,082 premis di seluruh negara diperiksa.

Katanya, sejumlah 6,992 naskhah tanpa perakuan KDN dirampas dan 12,767 bahan al-Quran disita dengan nilai keseluruhan yang dianggarkan RM2.8 juta.

Memuatkan artikel berkaitan…

Seramai 164 individu yang diperiksa di premis terbabit turut ditahan untuk siasatan dan mereka boleh didakwa mengikut Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986 (Pindaan 2023).

“Sekiranya disabitkan kesalahan, individu terlibat boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara sehingga maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

“Pada masa sama, pihak kami turut melaksanakan program advokasi iaitu Jom Exchange Al-Quran (JEQ) menyaksikan penyerahan sukarela sejumlah 6,484 naskhah,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Aktiviti selama sebulan berkenaan tambah Nik Yusaimi, telah menerima sambutan baik pelbagai pihak kerana al-Quran tiada perakuan yang ditukarkan itu bernilai RM260,000.

Secara keseluruhan tegasnya, sepanjang Mac lalu, KDN berjaya menarik keluar sebanyak 26,213 unit termasuklah item bingkai khat al-Quran dengan nilai berjumlah RM3.1 juta.

Antara kes menarik perhatian beliau yang berjaya dicapai menerusi Ops Mulia itu ialah rampasan sejumlah naskhah al-Quran di Seri Kembangan, Selangor pada 7 Mac lalu.

Material berkenaan jelasnya, setelah disemak secara terperinci kemudian didapati telah dijilidkan oleh pekerja bukan Muslim yang memang satu kesalahan serius di bawah akta.

“Tidak ketinggalan pelbagai naskhah al-Quran dengan harga premium mencecah RM599 bagi pasaran Semenanjung Malaysia serta RM699 di Sabah dan Sarawak,” kata beliau.

Beliau turut menunjukkan satu bingkai kaligrafi al-Quran yang dikesan pihaknya ada kesilapan dengan harga paling mahal pernah dirampas bahagian tersebut iaitu RM5,290.

Nik Yusaimi juga memberikan amaran bahawa KDN bersedia mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang terlibat dan menasihatkan masyarakat agar tidak terjebak.

Orang ramai yang ada maklumat kes sedemikian pula katanya, boleh menyalurkan aduan kepada KDN menerusi talian 03-80008000 atau laman sesawang www.moha.gov.my.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini