PETALING JAYA : Polis menahan lima remaja yang berlumba sambil melakukan aksi ‘superman’ ketika menunggang motosikal di Lebuhraya Baru Lembah Klang, di sini awal pagi tadi.
Kesemua mereka ditahan dalam Ops Samseng Jalanan oleh unit Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman yang diadakan bermula pukul 11 malam hingga pukul 5 pagi.
Pengarah JSPT, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, menerusi operasi ini, mereka ditahan kerana melakukan kesalahan menunggang dengan cara meniarap di atas motosikal sambil meluruskan kaki ke belakang.
“Mereka melakukan aksi itu dengan alasan sekadar bersuka-suka ketika dalam perjalanan pulang dari sebuah kedai makan di sini ke rumah masing-masing.
“Mereka juga melakukan aksi itu dengan bersaing sesama sendiri itu bermula dari Kilometer 1.4 hingga Kilometer 2.4 Lebuhraya NKVE arah Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd Azman berkata, semua penunggang berusia lingkungan 18 hingga 23 tahun itu memberhentikan motosikal mereka di hadapan sebuah rumah di Jalan Sekolah Padang Jawa, di Klang sebelum tangkapan dilakukan.
Katanya, semua suspek dibawa ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menunggang secara melulu dan berbahaya.
“Soal siasat mendapati semua penunggang terbabit adalah kenalan rapat yang tinggal di sekitar Shah Alam dan tidak terbabit dalam kumpulan yang salah.
“JSPT turut menyita motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan Yamaha LC135 yang digunakan ketika melakukan aksi itu untuk tindakan lanjut,” jelasnya.
Dalam pada itu, Mohd Azman berkata, pada operasi sama, pihaknya mengeluarkan 22 saman atas pelbagai kesalahan termasuk tiada nombor pendaftaran, tiada cermin sisi, tiada lesen, brek tidak berfungsi dan ubahsuai struktur motosikal.










