AEON BiG terima pembiayaan Islam RM150j dari HSBC Amanah

AEON BiG terima pembiayaan Islam RM150j dari HSBC Amanah

SHEIK Farouk Sheik Mohamed (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Amanah Raja Amir Shah di majlis menandatangani perjanjian pembiayaan tersebut di sini, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: AEON BiG (M) Sdn Bhd. (AEON BiG) menerima pembiayaan Islam pertama dari HSBC Amanah dengan nilai transaksi sebanyak RM150 juta yang akan digunakan untuk tujuan modal kerja am pengendali pasar raya besar tersebut.

Menurut kenyataannya, pembiayaan tersebut juga akan digunakan untuk membiayai operasi harian perniagaannya di Malaysia, sambil membangunkan aktiviti yang berfokus kepada pematuhan syariah. 

Pembiayaan ini juga akan merangkumi rancangan perkembangan AEON BiG, yang akan membuka cawangan terbarunya di Seremban pada 5 April 2024. 

Pengarah Urusan AEON BiG, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed berkata, pihaknya teruja mengumumkan kerjasama dengan HSBC Amanah dan sangat bangga dapat menyelaraskan strategi pertumbuhan dengan nilai-nilai syarikat itu. 

“Kerjasama ini menggariskan dedikasi kami untuk memberikan khidmat sebaik mungkin kepada komuniti,sambil mematuhi prinsip-prinsip Islam. 

“Dengan pembiayaan ini, kami bersedia untuk mempercepatkan pertumbuhan, rancangan perkembangan dan kerja-kerja penyelenggaraan yang akan memberikan impak positif dan nilai kepada pelanggan dan pada masa yang sama, kekal dengan prinsip kami,” katanya.

AEON BiG, yang merupakan anak syarikat AEON Co Ltd (Jepun), kini mengendalikan 21 pasar raya besar di Malaysia. 

Pembiayaan terkini dari HSBC Amanah ini amat penting untuk meningkatkan lagi kualiti operasi AEON BiG di Malaysia. 

HSBC bekerjasama rapat dengan AEON BiG di Malaysia dan syarikat induknya, AEON CO Ltd di Jepun untuk memateraikan perjanjian ini. 

Sementara itu, Ketua Perbankan Global HSBC Malaysia, Christina Cheah berkata, semakin ramai pelanggan mencari penyelesaian kewangan yang fleksibel dan boleh dinaik taraf untuk membantu perniagaan mereka berkembang.

“Pembiayaan Islam pertama bagi AEON BiG ini akan menyokong pertumbuhannya di Malaysia dan meringankan beban modal kerja.

“Ini amat penting untuk operasi syarikat sambil membolehkannya memberi tumpuan kepada inisiatif strategik lain untuk merealisasikan cita-cita AEON BiG untuk memacu landskap peruncitan negara,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×