Segerakan pembersihan

Segerakan pembersihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Cerita penjawat awam ditangkap kerana terlibat dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa bukan cerita baharu.  Dari semasa ke semasa ada sahaja yang ditahan, disiasat dan dikenakan hukuman.

Bukan setakat pegawai dan kakitangan yang tugas mereka ada kaitan dengan tugas penguatkuasaan sahaja terlibat, malah kakitangan peringkat bawahan, yang sekadar menjaga fail pun ada yang mengambil rasuah. Ada juga kes yang melibatkan guru besar. Malah, hakim pun ada.

Terbaharu, 34 pegawai Kastam di Bahagian Kargo KLIA ditahan kerana melindungi dan memudahkan aktiviti penyeludupan tembakau kunyah, rokok, arak, produk kesihatan dan alat ganti kenderaan.

Akibatnya, negara kehilangan hasil mencecah RM2 bilion manakala geng penguat kuasa itu menerima rasuah lebih RM4.7 juta sejak tiga tahun lalu. Maka, tidak hairanlah mengapa isu rokok dan arak tidak sah serta alat ganti kenderaan tiruan tidak pernah selesai.

Bukan setakat kerajaan hilang hasil, nyawa orang ramai juga menjadi taruhan.

Hari ini, ada satu laporan yang mendakwa, daripada 60,000 kontraktor G1 ataupun kelas F di seluruh negara ketika ini, kira-kira 30 peratus atau lebih 15,000 dikesan sebagai orang tengah  termasuk ahli keluarga yang bekerja sebagai kakitangan kerajaan.

Memandangkan mereka ada maklumat dalaman, maka mudah untuk mereka mendapatkan projek kerajaan sehingga mereka didakwa hidup mewah berbanding kontraktor tulen yang perlu bersaing dan bersusah payah untuk mendapat tender kerajaan.

Itu yang sudah terbongkar. Apakah banyak lagi akan dibongkar. Apakah di setiap pintu masuk ke negara ini, kegiatan menyogok ini adalah sesuatu yang lumrah. Harapnya tidak begitu.

Faktor utama ialah tiada integriti. Ini didorong apabila ada kuasa dan peluang. Gaji rendah hanya menjadi alasan. Kajian mendapati, lebih 46 peratus daripada mereka yang ditangkap rasuah adalah penjawat awam dan separuh daripada 46 peratus itu pula berusia di bawah 40 tahun.

Di sebalik pelbagai langkah yang diambil kerajaan untuk membanteras amalan buruk itu dan begitu banyak kes rasuah dan salah guna kuasa dilaporkan dalam media, tetap masih ada yang berani melakukannya.

Ternyata godaan wang dan hidup mewah tanpa memikirkan soal halal haram, terlalu sukar untuk ditolak. Bila kena tangkap, baru sibuk nak tutup muka. Tahu pula malu.

Justeru, apabila Perdana Menteri menyatakan yang beliau begitu terkesan dengan tindakan pegawai yang tidak amanah itu, kita semua khususnya penjawat awam wajar turut terasa. Dan dengan iltizam Yang di-Pertuan Agong dalam isu ini, diharap akan menguatkan lagi usaha dan azam SPRM untuk menangkap bukan sahaja ‘ikan bilis’ tetapi juga ‘jerung’ dan ‘naga’.

Walaupun jumlah mereka yang terlibat sangat kecil berbanding kira-kira 1.6 juta kakitangan awam tetapi usaha pembersihan perlu disegerakan. Jangan bagi ruang kepada aktiviti rasuah. Ia merugikan rakyat dan negara dalam banyak aspek. Pemberi dan penerima harus dihukum.

Tidak rugi kehilangan pegawai yang tidak amanah. Masih ramai penjawat awam yang boleh menggantikan mereka.

Sudah tiba masanya kerajaan meningkatkan ganjaran kepada penjawat awam yang melaporkan kegiatan rasuah dalam perkhidmatan awam. Setakat ini, tidak sampai RM1 juta ganjaran diberikan kepada kira-kira 400 penjawat awam yang melaporkan jenayah itu. Apalah sangat memberi beberapa puluh ribu berbanding berbilion yang hilang. –UTUSAN

  • Ismail Daud adalah Timbalan Pengarang Utusan/Mingguan Malaysia
×