Guru MRSM pedofilia disiasat, kenakan tindakan jika salah

Guru MRSM pedofilia disiasat, kenakan tindakan jika salah

Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiada kompromi dengan isu melibatkan kesalahan seperti buli pedofilia membabitkan seorang guru Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat di yang tular baru-baru ini, kata Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Asyraf Wajdi berkata, siasatan segera akan dibuat supaya tindakan tegas dapat diambil, sekali gus mengelak pelajar lain menjadi mangsa.

“Saya tidak akan berkompromi dalam apa juga salah laku, mahupun cubaan untuk menutup sebarang kes yang berlaku, yang jelas kita akan mengambil tindakan setelah siasatan dibuat.

“Sebab itu dari awal saya meletakkan garisan merah yang tidak langsung boleh didekati, maknanya saya sudah maklumkan kepada pihak pengurusan yang saya amat tegas dalam hal ini.

“Meskipun ada mana-mana pihak yang datang kepada kita dan membuat rayuan, kita tidak akan melayan jika benar-benar didapati bersalah,” katanya ketika dihubungi, semalam.

TULAR

Terdahulu, media melaporkan, kegiatan seorang guru yang tular di aplikasi X kerana didakwa mengganggu pelajar-pelajar di MRSM Tumpat sehingga mereka trauma.
Guru terlibat didakwa masih dibenar mengajar walaupun perbuatan terkutuknya itu diketahui oleh guru dan pelajar lain.

Susulan itu, beliau mengarahkan siasatan segera terhadap guru terbabit dan pihaknya akan melawat MRSM Tumpat dalam masa terdekat untuk meninjau kesan daripada dakwaan itu.

Ini kerana, beliau telah mendapat panggilan daripada ramai ibu bapa yang menghantar anak ke MRSM berkenaan, dan memberi jaminan siasatan akan dibuat dan tindakan tegas juga turut diambil.

“Saya akan menunggu hasil siasatan. Mereka sedang siasat dan akan turun ke sana pada minggu ini. Di pihak kita, MARA perlu membuat keputusan yang adil kepada semua pihak dan penyiasatan itu perlu berlaku secara telus berdasarkan maklumat yang tular,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis negeri Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, polis meneruskan siasatan lanjut berkait dakwaan yang tular.

“Serahkan perkara ini kepada polis, biar kami jalankan siasatan. Jika terbukti bersalah, kita akan teruskan ke fasa berikutnya iaitu pendakwaan di mahkamah,” katanya ketika dihubungi semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×