KANGAR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa kira-kira 20 minit beramah mesra dengan orang ramai ketika mengunjungi bazar Ramadan di persiaran Wawasan, di sini hari ini.
Beliau tiba sekitar pukul 6.05 petang sebelum melawat gerai selain beramah-mesra dengan penjual dan pembeli di bazar berkenaan.
Ahli Parlimen Tambun itu juga mengunjungi beberapa gerai yang menjual pelbagai juadah berbuka puasa seperti gulai keladi dan martabak selain ada peniaga di bazar tersebut mengirimkan nasi tomato kepada isteri Perdana Menteri, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Anwar diiringi Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan negeri, Asrul Aimran Abd. Jalil.
Terdahulu, beliau menghadiri Taklimat Pembangunan Negeri di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.
Ini merupakan lawatan kerja kedua Perdana Menteri ke Perlis selepas lawatan pertamanya turut disambut mesra Mohd. Shukri serta sempat bertemu dengan penjawat awam di negeri ini di Dewan 2020 pada awal tahun lalu.
Anwar dijadual menghadiri majlis berbuka puasa dan solat Maghrib di Masjid Nurul Huda Felda Chuping di Padang Besar bersama masyarakat setempat.
Sementara itu, seorang peniaga nasi tomato, Khairul Edzhar Abdul Ghani, 33, dari Kampung Ngulang, Mata Ayer turut menzahirkan keterujaan berjumpa dengan Perdana Menteri buat pertama kalinya.
“Ya, memang saya teruja dapat bercakap dan bertentang mata dengan Anwar. Saya ambil kesempatan untuk mengirimkan salam kami di Perlis dan sedikit juadah buat isterinya, Wan Azizah,” katanya.
Dalam pada itu, seorang pengunjung, Fatimah Su, 67, juga gembira kerana sempat meluahkan isu yang terbuku dalam hatinya terus kepada Perdana Menteri.
Katanya, dia berpuas hati kerana dapat menyampaikan aduan terus kepada Anwar mengenai isu kos sara hidup yang membelenggu pelbagai lapisan rakyat dan berharap kerajaan segera dapat bertindak memulihkan keadaan. – UTUSAN











