Sektor pembinaan didakwa dimonopoli sesama sendiri

Sektor pembinaan didakwa dimonopoli sesama sendiri

Norhamila Mohd. Datar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kegiatan monopoli da­lam sektor pembinaan di seluruh negara didakwa semakin berleluasa apabila turut didalangi suami atau isteri yang bekerja di jabatan atau agensi kerajaan yang melibatkan diri secara langsung dalam industri itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (Perkobf Malaysia) Pahang, Norhamila Mohd. Datar mendakwa, daripada 60,000 kontraktor G1 ataupun kelas F di seluruh negara ketika ini, kira-kira 30 peratus atau lebih 15,000 dikesan sebagai orang tengah termasuk ahli keluarga yang bekerja sebagai kakitangan kerajaan.

“Paling parah, terdapat ramai kakitangan kerajaan yang isterinya mendaftar sebagai kontraktor setelah G1 dibuka semula pada 2018. Ini berlaku kerana suami berkerja kerajaan jadi mudahlah mereka menjalankan kerja-kerja sebagai kontraktor.

“Segala maklumat tender ada pada suami atau isteri yang kerja kerajaan. Senang kata, jalan pintaslah untuk mereka mendapatkan projek kerajaan dengan mudah.

“Ini berlaku di seluruh negara dan kita dapat lihat kakitangan kerajaan, isteri jadi kontraktor pakai kereta mewah seperti Alphard, Mercedes dan motosikal berkuasa tinggi. Kehidupan mewah mereka kalah kontraktor tulen atau sebenar G1,” dakwanya ketika ditemui di sini semalam.

Norhamila mendakwa, kartel membabitkan pasangan suami atau isteri yang seorang daripadanya bekerja kerajaan ini mudah membolot projek kerana mereka yang membuat sebut harga dan menyusun lesen untuk projek-projek di sesuatu lokasi.

“Apabila mereka susun lesen, suami atau isteri merekalah yang dapat projek termasuk kenalan rapat ataupun kroni.

“Ini perlu dibendung oleh kerajaan kerana jika terus dibiarkan berlarutan, kami kontraktor tulen ini susah hendak cari makan dan ramai hidup susah kerana tiada projek,” dakwanya.

Beliau juga meminta ketua-ketua jabatan di agensi kerajaan yang terlibat dengan bahagian teknikal se­perti pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya mengambil tahu tentang anak buah mereka di peringkat bawahan.

“Ini kerana terdapat individu di jabatan berkenaan ambil ke­sempatan dengan mewujudkan lesen-lesen untuk mendapatkan kerja. Mereka kawal le­sen. Akhirnya yang dapat kontrak kroni mereka,” dakwanya.

Menurut beliau, susulan monopoli tersebut turut mewujudkan budaya ali baba dalam industri pembinaan negara.

Beliau mendakwa, budaya tersebut bukan baharu tetapi sudah lebih 23 tahun bermaharajalela menguasai projek besar dengan cara mengumpul lesen baharu untuk memonopoli projek kecil.

Dakwanya, kegiatan ali baba itu bukan isu baharu dan sering kali dibangkitkan kontraktor, namun tidak banyak perubahan apabila tiada tindakan serius diambil kerajaan untuk menghapuskannya.

“Selagi kegiatan ini dibiarkan berleluasa, maka, industri pembinaan negara akan berada di takuk lama dan tidak akan dapat bersaing di peringkat antarabangsa buat selama-lamanya.

“Jadi, kerajaan perlu bertindak tegas dan serius kerana sampai masanya budaya ali baba ini dihapuskan terutama dalam industri pembinaan negara kerana ia diwujudkan oleh kegiatan kartel bagi memonopoli projek-projek termasuk projek kecil,” katanya.

Norhamila berkata, untuk membanteras ali baba dalam industri pembinaan, beberapa syarat perlu diikuti oleh semua jabatan antaranya, tuan lesen sendiri mesti membeli dokumen tender, cuma masalahnya borang sebut harga tender diisi secara dalam talian.

“Kedua, pihak yang didapati bersalah menyewakan lesen akan didakwa dan digantung lesen dan ketiga, untuk menerima surat serah kerja, tuan lesen dikehendaki hadir sendiri dan tidak boleh wakil.

“Tuan lesen perlu tandatangan surat aku janji tidak memberi dan menyerahkan kerja tanpa kebenaran Lembaga Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN