Zafrul letak jawatan Bendahari UMNO Selangor

Zafrul letak jawatan Bendahari UMNO Selangor

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Tengku Datuk Seri Mohd. Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan perletakan jawatan beliau sebagai Bendahari UMNO Selangor.

Perkara itu dimaklumkan menerusi laman sosial Facebooknya, semalam.

Katanya, ini kerana beliau melihat perancangan kebangkitan parti itu di Selangor sebagai hambar, dan tidak sehaluan de­ngan tema di UMNO Pusat.

Tambahnya, apa yang berlaku itu adalah bertentangan de­ngan usaha Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan kepimpinan parti yang katanya tidak henti-henti merangka jalan kebangkitan parti di peringkat Pusat.

“Namun, sejauh mana hebat perencanaan Pusat, yang melaksana ada di negeri dan ke bawah. Saya tak mampu mengulas buat negeri lain, tetapi untuk negeri saya Selangor, pelaksanaan itu hambar malah ada ketika tidak sehaluan dengan tema di Pusat.

“Pendekatan dan prinsip saya mudah, kalau saya tidak dapat menyumbang kepada perubahan positif atau penambahbaikan maka saya tidak harus memegang sesuatu jawatan. Malah lebih baik saya mengosongkan jawatan untuk diisi orang yang boleh menyum­bang dengan lebih efektif,” katanya.

UMNO Selangor kini dipimpin Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang merupakan Setiausaha Politik Ahmad Zahid dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, selaku Timbalan Pengerusi, Datuk Johan Abd Aziz.

Tengku Zafrul dalam catatan yang sama turut berpandangan, Selangor adalah sebuah negeri yang amat penting untuk mana-mana parti politik bertapak.

“Demografinya yang majmuk dengan asas majoriti Melayu Bumiputera, ditambah dengan keseimbangan bandar serta luar bandar, mencerminkan dinamika Malaysia yang lebih luas. Kerancakan ekonominya sentiasa meletakkan Selangor sebagai lokasi tumpuan segenap aktiviti.

“Natijahnya, jika sesebuah parti tidak ada keberadaan yang kuat di Selangor, parti itu sukar digelar sebuah parti nasional atau parti untuk masa depan,” katanya lagi.

Jelas Tengku Zafrul, keputusan pilihan raya negeri di Selangor tahun lepas sewajarnya menjadi tanda jelas bahawa sesuatu per­ubahan perlu dilaksanakan de­ngan segera.

Berikutan itu, strategi ampuh sepatutnya perlu dirangka de­ngan ketetapan yang sesuai dengan realiti semasa.

“Antara lain, tawaran kepada pengundi Selangor harus dibina dengan lengkap, diuji dan di­semak dengan pemegang taruh.

“Kerjasama dengan parti-parti lain mesti diperkuat, bukannya dilemahkan atas angan-angan bahawa masalah UMNO terletak pada hubungannya dengan parti lain, apatah lagi sedangkan hubungan itu sudah wujud di peringkat Pusat,” luah beliau lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×