Peniaga terlepas hukuman gantung

Peniaga terlepas hukuman gantung

LIM Chong Kuang (dua dari kiri) bersama Mahendran (kiri) di Mahkamah Tinggi Butterworth, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Seorang pe­niaga dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam bagi pertuduhan mengedar dadah jenis ‘monoacetylmorphines’ seberat 185.71 gram, enam tahun lalu.

Hakim Fathiyah Idris membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes Lim Chong Kuang, 31, di akhir kes pembelaan.

“Mahkamah meneliti hujah kedua-dua pihak dan mendapati bahawa ada keraguan munasabah.

“Terdapat persoalan yang timbul terutamanya melibatkan keterangan saksi pendakwaan keempat (SP4). Oleh itu, mahkamah memutuskan untuk melepas dan membebaskan tertuduh,” katanya.

Pihak pendakwaan mengemukakan tujuh saksi terdiri daripada pegawai penyiasat, pegawai polis dan ahli kimia yang dipanggil sepanjang perbicaraan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sariza manakala tertuduh diwakili peguam K. Mahendran.

Terdahulu, tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya jenis monoacetylmorphines seberat 185.71 gram di hadapan Syarikat SY Online Venture Sdn. Bhd. Jalan Idaman di Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan (SPS) antara pukul 9 hingga 11 pagi pada 29 November 2018.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Sementara itu, Mahendran ketika ditemui berkata, kete­rangan saksi SP4 tidak kukuh dan menimbulkan banyak ke­raguan.

“Selain itu, terdapat keraguan membabitkan barangan kes yang diletakkan di atas meja pejabat syarikat terbabit kerana sesiapa saja ada akses untuk ke tempat tersebut,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×