PETALING JAYA: Dietmonsta Sdn. Bhd. (Dietmonsta) dinobatkan anugerah Jenama Makanan Sihat Terbaik Asia tahun 2024 semasa Majlis Penganugerahan World Fitness Federation (WFF) Asia.
Pengarah Dietmonsta, Chai Kah Fei berkata, anugerah itu mengiktiraf usaha dan komitmen Dietmonsta dalam mengekalkan standard pembekalan makanan sihat kepada pelanggan khususnya kepada golongan atlit bina badan.
“Anugerah ini mencerminkan dedikasi serta menguatkan lagi reputasi Dietmonsta sebagai pemimpin industri makanan sihat di Malaysia, ” katanya dalam kenyataan.
Jelas beliau, pilihan makanan Dietmonsta memberi fokus kepada empat kategori iaitu dalam penurunan berat badan, pembinaan otot, amalan makanan secara sihat serta protein berasaskan tumbuhan.
Beliau menambah, Dietmonsta turut memberikan khidmat pelan makanan tertumpu kepada pelanggan dan membuat penghantaran makanan terus ke rumah ataupun pejabat bagi memudahkan pelanggan.
“Dietmonsta bukan lagi menyediakan makanan untuk sesetengah kumpulan sasar, namun objektif kami kini memberi pilihan makanan sihat untuk semua peringkat umur, ” katanya.
Katanya, anugerah itu dijadikan mandat agar Dietmonsta terus memberikan kualiti produk dan perkhidmatan kepada pelanggan.
“Kami memberikan yang terbaik, bukan sahaja di Malaysia tetapi untuk seluruh Asia, di samping membuka peluang yang lebih banyak untuk kerjasama dengan pihak swasta, kerajaan dan komuniti setempat, ” ujarnya. – UTUSAN










