KLANG: Dua pelajar tingkatan tiga maut dalam kemalangan melibatkan empat buah motosikal di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Kapar, Jalan Haji Abdul Wahid, Kapar, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, kedua-dua mangsa lelaki berusia 15 tahun dikatakan dari arah Bukit Kapar menuju ke Kapar bertembung dengan dua lagi motosikal dari arah bertentangan.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, dua meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala sementara dua lagi mangsa cedera.
“Dua mangsa berusia 15 tahun meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk bedah siasat. Sehingga kini polis masih menyiasat punca kemalangan,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Beliau menambah, kemalangan tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, Vijaya Rao turut menasihatkan orang ramai supaya memandu dengan berhemah dan mematuhi peraturan jalan raya.
Sebarang maklumat mengenai kemalangan tersebut boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Ahmad Fadzli Abdullah di talian 017-5843860. – UTUSAN










