PETALING JAYA: Kenanga Research menaikkan harga sasaran United Malacca Berhad sebanyak 20 peratus kepada RM6 berbanding RM5 sebelum ini dengan penarafan dinaiktaraf daripada ‘marketperform’ kepada ‘outperform’.
Firma penyelidikan itu berkata, United Malaaca mengatasi jangkaan berikutan keputusan suku ketiga tahun kewangan 2024 kerana sumbangan daripada operasi perladangan di Indonesia
Kenanga Research turut menaikkan unjuran keuntungan bersih tahun kewangan 2024 dan 2025 dengan masing-masing sebanyak 13 peratus dan sebahagian besarnya mencerminkan peningkatan kecekapan dalam operasi di Indonesia.
“Bagaimanapun, kami mengekalkan unjuran dividen bersih tahunan 2024 hingga 2025 sesaham sebanyak 12 sen,” katanya.
Jelasnya, peningkatan 10 peratus suku ke suku dalam pengeluaran buah tandan segar (BTS) dari Indonesia mengimbangi penuaian Malaysia yang lebih lemah mengurangkan kos unit dan meningkatkan margin, walaupun suku kedua lazimnya merupakan suku yang paling produktif.
“Kenanga menjangkakan keuntungan bersih teras sembilan bulan pertama tahun kewangan 2024 United Malacca (tidak termasuk kerugian mata wang asing) sebanyak RM6.7juta dan RM1.5 juta dalam keuntungan nilai saksama pada RM40.7 juta yang mencapai 89 peratus daripada ramalan 2024 serta 90 peratus daripada anggaran konsensus setahun penuh,” ujarnya.
Katanya, perbezaan berbanding unjuran mereka disebabkan oleh peningkatan berterusan operasi di Indonesia, iaitu pengeluaran buah tandan segar tempoh itu meningkat 69 peratus tahun ke tahun.
Sementara itu, firma itu turut menjangkakan harga minyak sawit mentah 2024 dan 2025 akan kekal kukuh pada RM3,800 setiap tan kerana imbangan bekalan dan permintaan minyak makan global selepas lebihan pada 2023.
“Bekalan 2024 dan 2025 dijangka meningkat tahun ke tahun tetapi tidak mencukupi untuk mengekalkan inventori kerana permintaan dijangka berkembang pada tiga peratus hingga empat peratus tahun ke tahun” katanya.
Tambahnya harga minyak sawit mentah berkemungkinan lebih tinggi pada 2024 hingga 2025 di tengah-tengah senario pengurangan inventori.
“Kos pengeluaran sepatutnya sederhana yang sebahagiannya disebabkan hasil tuaian yang lebih baik,” katanya.-UTUSAN








