Kenapa tidak boikot rasuah sekeras isu kalimah Allah?

Kenapa tidak boikot rasuah sekeras isu kalimah Allah?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Minggu lalu pihak berkuasa rasuah menyita enam kenderaan mewah termasuk dua model Lamborghini yang dikaitkan penipuan cukai atau lebih tepat tidak membayar cukai membabitkan rokok, arak dan bahan mewah lain.

Kerajaan dikatakan kerugian RM2 bilion berikutan penipuan cukai. Lebih 20 orang direman dan wang rasuah lebih RM2 juta ditemui selain berpuluh akaun bank dibekukan.

Dua kereta Lamborghini yang dirampas jika dinilai pada harga second hand model 2019 berharga RM5 juta.

Minggu lalu juga seorang pegawai atasan polis ditahan kerana didakwa melindungi kumpulan haram yang beroperasi di Kuala Lumpur. Lelaki berusia 40-an itu dikaitkan menerima rasuah antara 2021 hingga 2024 daripada sindiket bagi melin­dungi aktiviti perjudian, maksiat dan kumpulan gengsterisme.

Badan pencegah rasuah menemukan lebih RM2 juta hasil serbuan di beberapa premis milik anggota itu.

Pada Januari lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita kenderaan mewah milik bekas setiausaha politik bekas menteri dan ahli perniagaan bergelar Datuk Seri.

Kenderaan yang disita termasuk Rolls Royce Ghost V12 Ewb, Mercedes-Benz G63 Amg Brabus, Range Rover Autobiography, Porsche Cayenne, Mini Cooper Works Rhd dan Mercedes-Benz S400L. Harga sebuah Rolls Royce Ghost V12 Ewb tahun 2017 adalah RM1.5 juta manakala Mercedes-Benz G63 Amg Brabus tahun 2021 berharga RM1 juta.

Hidup memberi dan menerima rasuah memang lumayan. Seseorang dengan mudah berbelanja RM5 juta untuk dua kereta. Itu mungkin sebabnya kerana duit diperoleh terlalu mudah.

Untuk menyimpan RM5 juta secara ‘halal’ dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), seseorang terpaksa bekerja selama hampir 200 tahun. Untuk seorang ahli perniagaan meraih RM5 juta, dia harus berbelanja RM150 juta membeli 250 juta saham dan mendapat dividen 1.5 sen daripada syarikat tersenarai.

Itu ada risiko syarikat tersenarai berkenaan akan rugi dan pelabur tidak mendapat sebarang dividen. Dengan mudah beliau sudah berbelanja RM150 juta yang mencukupi untuk membeli 60 Lamborghini.

Apa yang lebih mengaibkan apabila disusun dan direman golongan itu, sebahagian besar mereka orang Melayu dan Islam.

Agak melucukan apabila ada pemimpin atau hero yang bercakap mengenai boikot kedai serbaneka mengaitkannya de­ngan akidah tetapi tiada suara menentang atau menolak rasuah sekeras itu.

Adakah akidah ditentukan atas apa yang memenuhi kehendak peribadi? Adakah rasuah tidak dilihat sebagai berlawanan de­ngan tuntutan terhadap orang Islam?

Dalam satu jurnal ilmu keluaran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) Intellectual Discourse Corruption According to the Main Sources of Islam perkataan rasuah atau fasād ditemui sebanyak 50 kali dalam 22 bab al-Quran.

Untuk perbandi­ngan perkataan zakat dinyatakan sebanyak 32 kali dan solat 99 kali. Bukankah lebih banyak kali disebut, ia bermakna penting­nya sesuatu perkara kepada akidah. Isu stoking sememangnya mencemarkan nama Allah tetapi malangnya orang Melayu/Islam Malaysia tidak melihat rasuah sejijik isu stoking.

Adakah duit raya dianggap hadiah boleh diberi kepada penguatkuasa? Jika itu benar, pegawai kanan polis yang meraih lebih RM1 juta boleh menyatakan di mahkamah kelak bahawa wang berkenaan adalah ‘duit raya’ daripada pengusaha judi, kelab dan maksiat.

Setiap transaksi rasuah yang berlaku akan menyebabkan ada pihak dizalimi, sama ada kerajaan kehilangan pendapatan, kemudahan rakyat tidak dibina atau pembayar cukai membayar lebih untuk projek untuk menanggung ‘biawak hidup’ membeli kereta mewah. Mungkin benar, kita bukan sahaja menghalalkan cara tetapi juga akidah berdasarkan apa yang sesuai.

Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd.