SAUDARA PENGARANG,
CADANGAN Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar pemakaian uniform sekolah dilonggarkan dan pakaian sukan yang lebih fleksibel dibenarkan ketika berdepan cuaca panas merupakan satu tindakan kecil tetapi memberikan kesan yang signifikan.
Kebenaran ini melegakan banyak pihak terutama sekali ibu bapa serta guru yang berhadapan dengan kanak-kanak kecil yang baru mula bersekolah di samping berlatih untuk berpuasa.
Pendedahan kepada suhu panas secara semula jadi meningkatkan kadar denyutan jantung di samping mengurangkan keselesaan, apatah lagi dalam suasana kelas yang mungkin jumlah muridnya mencecah 40 orang dan tiada pengudaraan yang baik.
Guru yang peka akan prestasi kognitif kanak-kanak yang merudum disebabkan oleh cuaca serta suasana panas boleh mempelbagaikan suasana agar kanak-kanak tidak terkesan teruk akan perubahan yang berlaku.
Mereka juga boleh menjelaskan kepada kanak-kanak akan kesan cuaca panas kepada mereka serta bagaimana mereka seharusnya menangani kesan tersebut.
Kefahaman ini juga harus ada pada setiap ibu bapa kerana apabila kanak-kanak balik dari sekolah yang berpotensi untuk meragam dan perkara yang kecil boleh menjadi besar sekiranya tidak ditangani dengan baik.
Semua pihak harus mengambil tanggungjawab bagi memastikan kesan akibat perubahan cuaca yang drastik ini diminimumkan sebanyak mungkin. Ia harus dimulai oleh kepimpinan utama dengan menggubal polisi yang mampu diterjemahkan oleh pihak pemantau dan juga masyarakat secara amnya.
Keberhasilan polisi ini merupakan terjemahan kepada apa yang akan didepani oleh generasi yang seterusnya. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, moga rakyat Malaysia cakna akan kepentingan serta bersama-sama memikul tanggungjawab ini untuk menghasilkan masyarakat yang lebih progresif dan positif dalam mendepani perubahan iklim yang berlaku. – UTUSAN
PROF. DR. HASLINDA ABDULLAH
Pengarah Institut Pengajian Sains Sosial
(IPSAS) Universiti Putra Malaysia










