PENYANYI, Mila Jirin yang lahir dari pertandingan Akademi Fantasia musim kelima (AF5) 2007, hadir sebagai jenama dan perintis juara dari golongan wanita, kerana selama ini, kemenangan itu hanya didominasi kaum lelaki.
Mila, yang terkenal dengan tanda dagang ‘wazzup wazzup Mila in the house’, berdiri sebagai bintang pop dalam ciptaan, menerusi hits Persis Mutiara dan Aku Lebih Tahu (Loloq/Ajai), serta Mila Bila Cinta (Ad Samad/Audi Mok).
Kejayaan Mila membuka ruang untuknya memiliki dua album studio berjudul Persis Mutiara (2008) dan Mila Jirin (2011), serta kejayaan beberapa single seperti Kau dan Aku dan Jika Kau Ubah Fikiran.
Dia kemudian menyepi beberapa tahun dalam industri demi menumpukan perniagaan dan keluarga kecilnya. Pemenang Artis Baru Wanita Popular 2007 ini muncul kembali dalam pertandingan AF Megastar (2017) dan sebolehnya, saya enggan mengingati bagaimana dia boleh tersingkir di awal pertandingan itu.
Tahun ini, menyaksikan Mila kembali pada landasan seni suara dengan mempertaruh single berjudul, Sandera, ciptaan Amylea Azizan. Maka, besarlah harapan supaya Mila terus istiqamah bermuzik, walaupun mungkin sukar mengulang cetusan aliran pop balada dibawakannya dahulu.
Sandera perkataan berasal dari Indonesia yang dijadikan sebagai runut bunyi drama Khunsa bermaksud tebusan, atau seseorang yang ditawan seseorang hingga keinginannya dituruti. Dewan Bahasa dan Pustaka merujuknya sebagai orang yang tertawan atau tergadai untuk tanggungan hutang.
Saya kira, single ini memberi satu dimensi muzik yang baharu untuk Mila, sekali gus mengubati kerinduan peminat yang sudah lama tidak mendengar lagu-lagu dalam rentak sebegini.
Meskipun vokalnya tidak terlalu berevolusi, namun, kejelasan Mila dalam setiap sebutan liriknya, mengekalkan corak nyanyian dalam lagu-lagu terdahulu seperti Ilham Dimatamu dan Pergimu. Maka, kita tidak ‘kehilangan’ identiti, sama seperti Mila 16 tahun lalu.
Cuma, bekerjasama dengan Amylea yang sering menghasilkan lagu tema drama dan filem, saya tidak merasa getaran yang terlalu besar atau jurang perbezaan ketara dalam setiap naskhahnya.
Lebih-lebih lagi selepas hits Tak Pernah Hilang (duet bersama Kaer), kemudian disusuli beberapa lagu seperti Khilaf Asmara dan Tiada Dirimu (Shila Amzah), Tegar (Farahdhiya) dan Bukan Cinta (Amylea), yang kesemua ini berkitar dalam formula yang hampir sama.
Tiada bahagian istimewa dalam Sandera membuatkan saya mahu memuji berlebih-lebih, walaupun lagu ini menggunakan peralatan string sepenuhnya. Ada pun bunyinya hanya dibesarkan di minit 1.56 dan seterusnya. Tetapi, ini sahajakah? Jalur muzik yang bersifat easy listening atau sekadar bunyi untuk mengisi ruang kosong?
Apa yang saya harap hanyalah penghasilan lagu lebih sentimental dan sinematik, seperti dihasilkan pengkarya-pengkarya Indonesia, yang membuatkan lagu mereka ‘terus hidup’ untuk jangka masa lama.
Contoh paling dekat adalah dua lagu dihasilkan Ade Govinda iaitu Terbaik Bagimu (Datuk Seri Siti Nurhaliza), Masing-Masing (Ernie Zakri) atau sekurang-kurangnya kita mempunyai lagu yang setanding Dawai (Fadhilah Intan).
Namun, sedar atau tidak, penulisan lirik lagu Malaysia sebenarnya tidak terlalu berkembang, termasuk apa yang tertulis di dalam Sandera.
Penggunaan terma seperti ini amat jarang diguna dalam lagu-lagu Melayu dan keberanian penulis menggunakannya memberi saya harapan tinggi bahawa Sandera sepatutnya memberi impak besar dalam penyampaian lagu galau dan pilu.
Bagaimanapun, penulisan lirik lagu-lagu Amylea mudah diramal kerana intipatinya hanya menggunakan laras bahasa Melayu yang simplistik.
Tiada frasa yang menggambarkan keadaan sebenar Sandera pada bait lirik lagu ini walaupun dia sering menggunakan perkataan unik dalam judul lagunya seperti Miris, Kendati dan Paripurna.
Persoalannya, apakah saya menikmati lagu ini? Ya, Mila sudah menjalankan tanggungjawab memberi ‘rasa’ terhadap Sandera dengan cara dia menjiwai lagu ini. Tetapi, penilaian ini amat subjektif.
Saya percaya, lagu yang baik bermula dari cara ia dihasilkan oleh pencipta dan penggubah lalu disampaikan oleh penyanyi yang benar-benar sesuai serta tidak terikat dengan format yang sama sahaja.










