GEORGE TOWN : Polis berjaya menahan 10 orang lelaki yang sedang leka bermain judi daun terup di taman permainan di sebuah flat di Jalan Batu Uban, Gelugor di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 pagi itu, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM2,736; 52 keping daun terup, dua buah meja serta dua buah lampu suluh yang dipercayai digunakan untuk tujuan berjudi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab. Hamid berkata, kesemua suspek yang ditahan itu berusia dalam lingkungan antara 21 hingga 36 tahun.
“Siasatan mendapati, mereka disyaki bermain judi daun terup di kawasan terbuka dan polis turut merampas wang tunai dan peralatan yang digunakan untuk bermain judi itu,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Razlam, kesemua suspek kini direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” ujar beliau.-UTUSAN










