BALING: Aksi tarian yang didakwa mencetuskan kontroversi oleh artis terkenal tanah air ketika menghadiri Fiesta Raya Baling di Dataran Taman Awam, di sini menjadi punca karnival jualan itu terpaksa dihentikan lebih awal.
Penganjurnya, Ahmad Zaki Yaacob berkata, kejadian yang berlaku pada program tersebut adalah di luar kawalan pihaknya dan mereka memohon maaf atas kesilapan yang berlaku.
“Saya bagi pihak penganjur dan Syarikat Maju Kedah Resourses memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Kedah dan umat Islam khasnya, Menteri Besar, Majlis Daerah Baling, Pejabat ADUN Bayu serta peniaga yang terlibat dalam Fiesta Raya Baling, baru-baru ini.
“Sesungguhnya segala yang berlaku itu di luar kawalan dan jangkaan di mana kehadiran Diva AA (Azwan Ali) di pentas hanyalah sekadar gurauannya untuk menarik pengunjung ke fiesta ini,” katanya ketika dihubungi.
Sejak beberapa hari lalu, tular klip video memaparkan artis berkenaan yang bersama beberapa individu menyanyi lagu dangdut sambil menari di atas pentas yang dianggap tidak sensitif kerana berlaku ketika sambutan Nuzul al-Quran.
Ahmad Zaki menjelaskan, Azwan tiada dalam senarai jemputan rasmi dan kehadirannya atas jemputan sahabat kepada selebriti itu yang turut berniaga di karnival tersebut.
“Dengan kejadian yang berlaku ini, kami juga telah mendapat teguran keras daripada ADUN Bayu, Mohd. Taufik Yaacob dan telah mengarahkan agar Fiesta Raya Baling ditutup atas dasar tanggungjawab pihak penganjur terhadap perkara yang berlaku.
“Maka kami dengan rasa tanggungjawab telah menutup sepenuhnya penganjuran acara itu semalam dan kami juga amat menyesali atas apa yang berlaku dan sekali lagi memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan dengan isu tersebut,” katanya.
Sementara itu, seorang peniaga, Eira Aziera yang juga pempengaruh media sosial kesal dan sedih apabila khemah jualannya serta peniaga-peniaga lain diarahkan tutup serta mengosongkan tapak perniagaan dengan segera.
“Penganjur beritahu kepada semua vendor untuk kosongkan tapak dan kawasan perniagaan dalam tempoh 48 jam, apa salah kami sebagai peniaga sehingga kami yang dikenakan arahan tutup perniagaan.
“Walhal yang menari bukan kami, dia pun tiada dalam aturcara majlis. Tetamu tak diundang mereka pergi untuk pasang gerai, kebetulan dah nama pun artis, orang tariklah dia ke depan (pentas),” katanya.
Eira berkata, aksi tersebut tidak disenangai oleh penduduk tempatan sebelum rakaman perbuatan itu tular di media sosial sehingga mendapat kecaman teruk.
Tambahnya, bukan setakat peniaga, para pekerja yang diupah untuk menjaga gerai jualan turut hilang kerja disebabkan arahan menghentikan operasi bermula semalam. -UTUSAN










