Benteng keselamatan negara sedang diuji

Benteng keselamatan negara sedang diuji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEJAYAAN Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang lelaki warga Israel bersama enam pucuk senjata api wajar mendapat pujian kerana tindakan pantas itu berjaya mengelakkan tragedi yang lebih buruk.

Penahanan itu juga tanda keupayaan PDRM daripada aspek risikan dan kesiapsiagaan dalam berhadapan dengan anasir-anasir luar yang cuba menyusup untuk mengancam keselamatan rakyat dan negara.

Penahanan lelaki berusia 36 tahun yang turut mempunyai pasport Perancis itu memang mengejutkan terutama ketika Malaysia dan para pemimpin negara ini begitu lantang mendesak masyarakat antarabangsa bertindak ke atas Israel ekoran tindakan kejam rejim Zionis ke atas rakyat Palestin di Gaza.

Walaupun ketika disiasat polis, lelaki itu mengatakan dia ke Malaysia untuk ‘memburu’ individu yang berasal dari negaranya, tetapi ia tidak boleh diambil mudah.

Tindakan mengupah pasangan suami isteri rakyat Malaysia untuk membekalkannya dengan senjata yang diseludup dari Thailand menunjukkan kehadiran lelaki itu ke negara adalah untuk satu tujuan ‘bisnes’ yang serius.

Ini adalah ancaman kepada keselamatan negara.

Jelas sekali terdapat pihak-pihak luar yang mungkin tidak berpuas hati dengan kelantangan pemimpin negara terhadap isu-isu kemanusian di peringkat antarabangsa telah mendorong mereka untuk cuba menguji benteng keselamatan negara ini.

Sebagai sebuah negara yang terbuka, Malaysia sentiasa terdedah kepada kemasukan ejen-ejen perisikan bahkan penjenayah yang terlibat dengan jenayah terancang di peringkat antabangsa.

Kita tentu masih ingat pada April 2018, pensyarah Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI), Dr. Fadi Albatsh, 35, telah ditembak mati di Gombak oleh lelaki yang menunggang motosikal berkuasa tinggi dipercayai didalangi agensi perkhidmatan rahsia Israel iaitu Mossad.

Fadi dikatakan jurutera Palestin dan terbabit dalam pergerakan pejuang Hamas.

Pada 2019 kita dikejutkan dengan satu lagi kes jenayah antarabangsa berprofil tinggi apabila adik kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam dibunuh menggunakan bahan kimia berbahaya VX di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Serangan secara terbuka di tempat awam itu meletakkan pasukan keselamatan negara terutama polis dalam perhatian masyarakat antarabangsa.

Sudah tentu penahanan warga Israel bersama dengan senjata api dan 200 butir peluru itu ada kaitan dengan jenayah terancang antarabangsa yang berprofill tinggi.

Penjenayah biasa tidak memerlukan senjata dan peluru sebanyak itu dan tidak mungkin  duduk di hotel lima bintang jika tiada pembiayaan yang lumayan.

Apa yang pasti, ini adalah ujian kepada benteng keselamatan negara. Ia amat berbeza dengan pencerobohan di sempadan kerana aktiviti jenayah terancang oleh ejen-ejen rahsia seperti ini memerlukan kepekaan dan risikan yang rapi lagi teliti oleh pihak berkuasa.

Dalam kes ini kita amat berharap kepada keupayaan pasukan risikan PDRM supaya ia dapat dikesan dan dicegah di peringkat awal.

Seboleh mungkin elakkan negara kita daripada menjadi lokasi ejen-ejen jenayah terancang bersarang, kerana ia bukan sahaja mengancam keselamatan rakyat tetapi turut menjejaskan imej negara. – MINGGUAN

Aznan Bakar ialah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia