TRADISI menjamu penduduk berbuka puasa secara besar-besaran sudah bermula sejak 76 tahun lalu di Masjid New Memon, Karachi, Pakistan.
Sejak itu, setiap kali sambutan bulan suci Ramadan, ratusan hingga ribuan penduduk akan berkumpul menjelang azan Maghrib bagi sesi iftar di lokasi berkenaan.

– AGENSI
Juadah makanan disediakan oleh sekumpulan sukarelawan untuk 3,000 pengunjung setiap hari.
Seorang petugas yang terlibat dalam pengurusan iftar itu, Riaz Ali Qadri berkata, masjid berkenaan kerap menjadi tumpuan golongan peniaga, pekerja tempatan dan musafir.
Kongsinya, tradisi yang sudah berlanjutan sejak berdekad lalu, asalnya bermula di sekitar kawasan Bolton Market yang kini menjadi lokasi pusat beli-belah popular.
“Sebenarnya, segelintir jemaah yang pernah datang ke sini untuk menunaikan solat mencetuskan idea berbuka puasa secara besar-besaran selepas zaman kemerdekaan pada 1947. Sejak itu, ia menjadi tradisi turun-temurun,” katanya.
Masjid New Memon antara rumah Allah terbesar dan tertua di Pakistan kerana mampu menampung 10,000 jemaah pada satu-satu masa.
Dibina sejak 1949, masjid ini juga terkenal sebagai lokasi pernikahan dalam kalangan penduduk.
450 DULANG MAKANAN
Himpunan terbesar itu berkembang dari semasa ke semasa. Setiap hari, lebih 450 dulang berisi makanan dihidangkan kepada orang ramai.
“Dalam satu dulang mengandungi kurma, buah-buahan, chicken rolls dan pakoras. Minuman ringan turut dihidangkan serta beberapa pilihan jenis nasi disediakan,” katanya.

Walaupun menuntut perbelanjaan yang besar bagi penyediaan juadah berbuka puasa, beliau berkata, pihak masjid tidak menerima sebarang sumbangan tunai.
Sebaliknya, pihak yang berminat untuk melakukan sumbangan boleh membuat pembayaran kepada pihak pembekal atau penyedia makanan secara langsung.
Seorang pengunjung, Dost Muhammad yang tinggal di bandar Baldia merasai pengalaman berbuka puasa di masjid itu.
“Saya baru pertama kali berbuka puasa di sini. Semuanya tersusun dengan baik dan saya merasakan seperti berbuka di rumah sendiri,” kongsinya.
– ARAB NEWS










