KALI pertama mendengar nama restoran, Asian Kuih sudah pasti ada yang menganggap ia hanya menyajikan kuih tradisional masyarakat Melayu atau berkonsep makanan Timur.
Bagaimanapun, pemilik bersama Asian Kuih, Mazita Ali berkata, antara menu menarik di situ adalah piza yang diberi nama Piza Sungai Klang.
“Sebelum membuka Asian Kuih saya sememangnya mengambil tempahan kuih pelbagai jenis di atas talian.

“Namun hasil inovasi dan pengalaman dalam masakan kuih-muih, saya dan anak-anak menghasilkan Piza Ayam Masala dan lain-lain piza yang diadun dengan doh yang dibuat pada hari yang sama.
“Kita juga membakar piza dengan arang di dalam ketuhar khas. Ia menghasilkan piza yang mempunyai rasa yang tersendiri,”katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Asian Kuih
Lokasi: Lot 1560, Jalan Berangan 2, Kampung Padang Jawa, Shah Alam, Selangor.
Waktu operasi
pada bulan Ramadan: Pukul 4 petang hingga pukul 11 malam.
Hari biasa – beroperasi setiap hari kecuali Isnin bermula pukul 8.30 pagi hingga pukul 3 petang.
Sajian istimewa: Pizza masala, masak lemak keli cili api dan nasi impit ayam cekur dimakan bersama sambal jawa.
Mazita berkata, selain piza ayam masala, Asian Kuih turut menyajikan Piza Ayam Tikka, Piza Hawaiian, Piza Beef/Chicken Pepperoni, Piza Spicy Tuna, Piza Tuna Sensation dan lain-lain.
Katanya lagi, salah seorang anak saudaranya bekas Chef, Halim Jarudi ialah individu yang banyak membantu kakitangan Asian Kuih menyediakan piza dan sajian Barat seperti Beef Lasagna yang dihidang bersama salad dan kerepek kentang.

“Selain piza dan lasagna kita turut menyajikan menu berkuah seperti Ayah Beef’s Stew yang disaji bersama tiga ketul roti bawang putih, sup cendawan dan Egg Bowl.
“Untuk menu masyarakat di negara ini, kita ada juadah popular orang Jawa iaitu lempeng dicicah sambal hitam Pahang, nasi impit bersama ayam rendang dan nasi impit ayam cekur dimakan bersama sambal Jawa.
“Bukan hanya piza dan makanan Jawa, kita ada juga gulai ikan keli salai masak lemak cili api bersama nasi yang diusahakan anak saudara saya, Suhada Ahmad Kamal di sini,” katanya.
Suhada ketika ditemui berkata, keistimewaan gulai ikan keli itu adalah pada kualiti ikan keli yang diternak secara sistematik di kawasan rumahnya.
Selain merasai keenakan sajian negara luar yang diolah serasi dengan lidah masyarakat negara ini, Asian Kuih turut menyajikan pelbagai jenis minuman seperti kopi latte, cappuccino dan pelbagai jus seperti jus oren, jus tembikai serta air kelapa muda.
Orang ramai boleh menikmati hidangan istimewa di Asian Kuih bermula dari pukul 4 petang hingga pukul 11 malam pada bulan Ramadan ini. – UTUSAN










