PASIR MAS: Polis berjaya membongkar taktik menyorok 1,676 karton seludup di dalam sebuah rumah kosong di Kampung Kelar, di sini semalam.
Serbuan pukul 7.05 pagi itu dilakukan selepas sepasukan anggota polis menjalankan intipan selama sejam.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, semasa serbuan dijalankan, rumah tersebut didapati tidak berkunci dan tidak berpenghuni.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut yang dilakukan membawa kepada penemuan kotak-kotak rokok yang belum mendapat kelulusan cukai oleh pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia di bahagian bilik sebelah belakang dapur rumah berkenaan.
Menurutnya, nilai rampasan rokok pelbagai jenama itu dianggarkan bernilai RM348,816 termasuk cukai.
“Kita tidak menolak kemungkinan kesemua rokok-rokok ini untuk pasaran tempatan berpandukan kepada jenama yang dilihat sudah sinonim dengan masyarakat di sini.
“Kes disiasat Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” ujarnya.
Kama Azural memberitahu, pihaknya sedang mengenal pasti identiti individu terlibat dengan aktiviti tersebut.
Katanya, usaha untuk mengesan suspek sedang giat dijalankan.
Kama Azural berkata, polis akan terus membanteras kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi, arak dan rokok yang menyebabkan kerugian kepada hasil dalam negara.-UTUSAN










