KOTA KINABALU: Kira-kira 3,000 pelajar daripada golongan B40 menerima manfaat daripada pelaksanaan berterusan Dapur Hal Ehwal Pelajar (HEP), Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) Sabah sempena Ramadan kali ini.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, pelaksanaan program Dapur HEP itu diteruskan pada bulan Ramadan untuk membantu pelajar yang kurang berkemampuan untuk menikmati juadah berbuka puasa dan bersahur.
Beliau berkata, menerusi Pejabat Parlimen Sepanggar, beliau memberi sumbangan sebanyak RM20,000 untuk meneruskan pelaksanaan Program Dapur HEP pada bulan Ramadan kali ini.
Program itu akan membolehkan pelajar kurang berkemampuan bersahur dan berbuka puasa dengan menggunakan bahan yang tersedia di Dapur HEP.
“Kita maklum UiTM mempunyai ramai pelajar daripada golongan B40, kira-kira 3,000 pelajar jadi, Dapur HEP ini untuk membantu pelajar yang tidak mampu.
“Melalui program itu, kita sediakan periuk nasi, beras dan makanan tin yang boleh digunakan oleh pelajar untuk memasak di Dapur HEP. Jadi, mana-mana pelajar yang rasa memerlukan makanan makanan ini, kita alu-alukan merea untuk bersungkai (berbuka puasa) dan bersahur di situ,” katanya semasa Program Semarak Ramadan KPT, semalam.
Mengulas tentang isu pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang mengalami kelewatan, Mustapha berkata, beliau telah memaklumkan isu tersebut kepada PTPTN.
Pada Isnin minggu depan, beliau akan berbincang dengan PTPTN mengenai masalah tersebut agar ia dapat dipercepatkan.
Sebelum ini, tular video mengenai kelewatan kemasukan pinjaman PTPTN kepada pelajar UMS yang sepatutnya dikreditkan pada 24 Mac namun, dimaklumkan telah ditunda kepada 7 April. – UTUSAN







