Nak balik raya, duit tiada

Nak balik raya, duit tiada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SOALAN:
Saya sangat merindui keluarga di kampung. Nak sangat balik tapi gaji suami cukup-cukup untuk keperluan kami sekeluarga. Ibu pula selalu mengajak balik beraya dengan keluarga. Nak cakap tiada duit apa pula kata mereka. Perlu ke balik beraya jika ia akan membebankan suami? Serba salah, rasanya.
-Yang terbeban

JAWAPAN:
Menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga pasti menjadi keinginan setiap orang. Namun, dalam meraikan kemeriahan ini, ada juga individu yang kurang bernasib baik, tidak mampu menyambutnya bersama insan tersayang.

Bukan kerana tidak sudi untuk bersama keluarga tetapi kekangan kewangan yang menyebabkan mereka tidak dapat pulang ke kampung halaman. Apabila tiba musim perayaan, hati dan fikiran mula resah dek kerana terbeban apabila memikirkan keperluan untuk menyambut raya.

Bukan puan sahaja yang merasai situasi ini, malah ramai yang turut terkesan dengan cabaran ekonomi sekarang. Inilah aturan kehidupan yang perlu kita lalui dengan hati terbuka.

Menjawab persoalan di atas, saya yakin puan sangat merindui keluarga. Pasti sedih apabila mengenangkan nasib keluarga yang serba kekurangan. Namun apakan daya, saya yakin suami puan juga sudah sedaya-upaya melakukan yang terbaik demi keluarga. Saya sediakan tip agar puan lebih berlapang dada dengan situasi dihadapi:

Berkomunikasi dengan pasangan
Puan perlu berbincang dengan suami keperluan untuk balik kampung. Jika tidak membeban suami, rancanglah pengurusan kewangan sebaiknya. Namun jika ia menambahkan bebanan, fikirkan yang terbaik untuk puan sekeluarga.

Dahulukan keperluan keluarga
Fokus pada keutamaan keluarga. Jangan kerana mengejar keinginan untuk beraya di kampung menyebabkan kalian sekeluarga terpaksa berlapar sementara menanti gaji akan datang.

Perancangan kewangan
Kurangkan perbelanjaan dan fokus pada keperluan sahaja. Cari pendapatan tambahan menerusi p-hailing.

Berunding dengan keluarga
Jika tidak balik kampung, berusahalah untuk berbincang dengan keluarga. Pohon kemaafan dengan ibu dan nyatakan hasrat serta keinginan untuk bertemu ahli keluarga. Mohon doa ibu agar dimurahkan rezeki untuk bertemu seisi keluarga.

Alternatif lain
Apabila tiba perayaan, hubungi keluarga melalui panggilan video untuk ucapan raya dan bawa keluarga berkunjung ke rumah jiran dan sanak saudara terdekat. Reda dengan keputusan dibuat. Jangan dek kerana sedih tidak pulang ke kampung, anda menafikan hak anak-anak untuk merasai kemeriahan Syawal.

Berdoa
Yakin rezeki yang ada adalah yang terbaik daripada Allah. Banyak berdoa agar sentiasa dimurahkan rezeki dan dipermudahkan urusan suami puan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×