KOTA BHARU: Felcra Berhad (Felcra) selesai mengagihkan dividen berjumlah RM74 juta bagi musim ketiga tahun lalu kepada semua 74,000 peserta di seluruh negara.
Pengerusinya Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, bayaran dividen sebanyak tiga setahun yang bergantung kepada harga minyak sawit mentah dunia.
Menurutnya, pembayaran tersebut dibuat secara dalam talian dan masuk terus ke akaun setiap para peserta.
“Besar harapan kita agar bayaran ini dapat dimanfaatkan oleh seluruh peserta untuk membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua Bahagian UMNO Kelantan, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Jazlan memberitahu, Kelantan antara negeri yang tidak memberikan kerjasama kepada Felcra untuk membangunkan tanah.
Katanya, tindakan itu menyebabkan agensi berkenaan tidak dapat membantu taraf ekonomi rakyat khsusnya golongan berpendapatan rendah.
“Macam Perlis negerinya kecil manakala Wilayah Persekutuan pula berdepan kekangan tanah. Kita faham bagi negeri berdepan kekangan seperti itu.
“Namun bagi Kelantan mereka tidak langsung mahu membantu rakyat dengan memberikan tanah kepada Felcra,” ujarnya.-UTUSAN









