Orang politik, pemimpin masyarakat henti debat isu 3R

Orang politik, pemimpin masyarakat henti debat isu 3R

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta semua pemimpin politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ketua-ketua masyarakat berhenti ‘berbahas’ mengenai isu-isu berkaitan raja, agama dan kaum (3R).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, isu-isu 3R yang menjurus kepada perbuatan menghina dan me­langgar undang-undang harus diserahkan kepada PDRM diambil tindakan.

“PDRM memberi jaminan tiada siapa akan dikecualikan daripada diambil tindakan sekiranya menyentuh isu berkaitan 3R ini.

“Isu berkaitan KK Mart, tindakan telah diambil malah kes berkenaan juga dalam proses perundangan. Jadi, tidak perlu lagi kita berulang kali memainkan sentimen 3R hingga mencetuskan pelbagai pertelagahan terutamanya dalam platform media sosial dengan saling tuduh-menuduh dan menuding jari,” kata nya.

Menurut beliau, ketika ini suhu politik negara masih panas dengan stoking tertera kalimah Allah dan sekiranya setiap individu yang mewakili entiti tertentu bersuara, isu tersebut sukar reda kerana akan disahut wakil lain sehingga melanggar undang-undang dan mencabar Perlembagaan.

Sebaliknya, Razarudin berkata, semua pihak terutama yang mempunyai pengaruh perlu terus menyuburkan budaya toleransi dan bertolak ansur antara satu sama lain dengan tidak mengambil tindakan sendiri.

“Tidak kira sesiapa pun, semua pihak perlu menghormati dan berhenti membangkitkan sebarang isu sensitif. Sekiranya kita kesan, kita akan siasat,” katanya.

Razarudin menjelaskan, pemimpin masyarakat sepatutnya menjadi penasihat dan mengetepikan segala ego serta kepentingan peribadi dalam mewujudkan suasana kehidupan yang harmoni serta stabil.

“Sebagai pemimpin, sudah pasti menjadi contoh kepada masyarakat. Jika kita masih sengaja menggembar-gemburkan isu 3R walaupun tindakan telah diambil, maka isu yang kecil boleh menjadi besar sekali gus mendatangkan kegusaran awam atau menggugat ketenteraman awam,” jelasnya.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan semua pihak berhenti mengambil kesempatan dalam isu membabitkan stoking tertera kalimah Allah selepas kes tersebut kini sedang melalui proses perundangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×