PDRM mohon bantuan SKMM semak FB GANESPARANnadaraja - Utusan Malaysia

PDRM mohon bantuan SKMM semak FB GANESPARANnadaraja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapatkan bantuan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) berkaitan pemilik akaun Facebook GANESPARANnadaraja yang didakwa menghina agama Islam dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris. 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan masih diteruskan untuk membuat semakan dengan SKMM. 

Katanya, ia bagi mendapatkan butiran terperinci suspek dalam kes ini. 

“Kita juga ada menerima laporan terbaharu malam tadi di Shah Alam. Ini selepas pengadu ada terlihat satu video berdurasi dua minit 27 saat memaparkan lelaki India tersebut menghina Sultan Selangor, agama Islam, bangsa Melayu dan mufti.

“Rakaman percakapan pengadu telah diambil dan kita menjalankan siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan Seksyen 505(C) Kanun Keseksaan (KK) iaitu mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum. 

“Siasatan turut dilakukan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini. 

Tambahnya, pihak polis turut menjalankan siasatan mengikut Seksyen 298 KK iaitu atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci serta niat jahat atau memudaratkan perpaduan.

Utusan Malaysia semalam melaporkan pihak polis membuka kertas siasatan terhadap pemilik Facebook tersebut selepas dikesan menghina agama Islam dan membuat tohmahan kepada PDRM. 

Razarudin dilaporkan berkata, setakat ini terdapat 21 kertas siasatan telah dibuka terhadap individu tersebut yang dipercayai berada  di Hamburg, Jerman.

“Pemeriksaan mendapati dia kali terakhir keluar dari negara ini pada 2 November 2017. 

“Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×