KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan mencederakan kawan sekampung dengan parang sehingga putus jari tangan kiri pada tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Hafiz Izzuddin Yusof, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli, hari ini.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Hafiz Izzuddin Yusof, 26, didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada mangsa yang berusia 35 tahun menggunakan sebilah parang.
Perbuatan itu menyebabkan mangsa putus jari manis kiri dan hampir putus telinga kiri.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Gong Kijang dekat sini pada 11 Disember tahun lalu kira-kira pukul 8 malam.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan (KK).
Mahkamah kemudian menetapkan 24 April untuk tarikh sebutan semula kes selepas merekodkan pengakuan tidak bersalah daripada tertuduh.
Tertuduh turut dibenarkan diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin
Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanin Ayim manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – UTUSAN










