ARAU: Meskipun gerainya hanya terletak bersebelahan rumah di tepi jalan di Kampung Guar Halban, Jalan Mata Ayer di sini, jualan martabak Muhammad Nazir Muhammad Ashraf, 64, mampu mencecah 900 biji sehari.
Malah, setiap hari, orang ramai beratur panjang sehingga 100 meter seawal pukul 3 petang bagi mendapatkan martabak ‘legenda’ itu yang dijual setahun sekali sempena Ramadan.
Martabak tersebut sememangnya cukup terkenal dalam kalangan rakyat di negeri ini khususnya sempena Ramadan dan telah beroperasi sejak lebih 20 tahun lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Muhammad Nazir berkata, dia hanya menjalankan perniagaan martabak itu sepanjang Ramadan dan pada bulan lain, dia memberi fokus kepada perniagaan kedai penyapu miliknya di lokasi sama.
“Untuk bulan Ramadan ini, saya buka kedai penyapu pada sebelah pagi manakala gerai martabak ini pula akan beroperasi bermula pukul 2.30 sehingga 6.15 petang,” katanya.
Tambah Muhammad Nazir, sehari, dia mampu menjual antara 800 sehingga 900 keping martabak dengan kebiasaan pelanggan mula beratur seawal pukul 3 petang bagi mendapatkan juadah berkenaan.
“Ada ketika pelanggan perlu beratur sehingga sepanjang 100 meter bagi menantikan giliran untuk membeli martabak di gerai kami ini,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Nazir berkata, sebelum ini, dia menjual martabak daging dan ayam dengan harga RM5 namun bermula tahun ini, pihaknya terpaksa menaikkan jualan kepada RM6 disebabkan oleh peningkatan harga barangan mentah.
Tambahnya, dia turut menerima pesanan martabak menerusi telefon bagi memudahkan pelanggan untuk membeli juadah tersebut. – UTUSAN










