Prolintas Infra BT disenarai Pasaran ACE pada 95 sen

Prolintas Infra BT disenarai Pasaran ACE pada 95 sen

MOHAMMAD Azlan Abdullah (dua dari kanan) pada majlis penyenaraian Prolintas Infra BT di Pasaran Ace di Bursa Malaysia, di sini, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Prolintas Infra Business Trust (Prolintas Infra BT) tampil di Pasaran ACE Bursa Malaysia, dibuka pada harga tawaran awam (IPO) 0.95 sen dengan jumlah pembukaan sebanyak 299,047 saham. 

Harga terbitan  Prolintas Infra BT adalah RM445.26 juta dan penawaran awam sebanyak 1.1 bilion saham biasa baharu pada harga RM0.95 sesaham dengan modal pasaran bernilai kira-kira RM1.05 bilion. 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd., Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata, tujuan utama penyenaraian kumpulan adalah untuk meningkatkan pulangan dividen bagi memastikan kecekapan perbelanjaan operasi syarikat.

“Tumpuan segera adalah menjadikan perbelanjaan operasi pada tahap berkesan, supaya tunai kami dapat dioptimumkan dan memberi pulangan kepada pelabur kami,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Selain itu, katanya, berdasarkan IPO sebanyak 95 sen setiap unit, hasil pengagihan tersirat adalah kira-kira 6.7 peratus untuk tahun kewangan 2024.

Azlan berkata, berdasarkan polisi agihan, pengurus pemegang amanah akan mengagihkan sekurang-kurangnya 90 peratus daripada pendapatan boleh agih kumpulan kepada pemegang unitnya secara tahunan. 

“Sasaran kami adalah mengagihkan sejumlah RM70 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, “ katanya. 

Selain itu, beliau menambah mengenai Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH) dan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) yang telah siap pada tahun 2022 dan 2023, tidak termasuk dalam IPO kerana berada dalam peringkat awal operasi. 

Jelas beliau, ia mengambil lima hingga tujuh tahun untuk pihak yang diberi konsesi lebuh raya untuk mencapai tahap pendapatan sebelum faedah, cukai, penyusutan, dan amortisasi (EBITDA) yang seimbang.

“Kemajuan kedua-dua lebuh raya itu berjalan lancar, tetapi masih terlalu awal untuk melihat potensi sepenuhnya pada masa ini,” tambahnya.

AmInvestment Bank Berhad ialah penasihat utama, bookrunner utama, bookrunner bersama, penaja jamin urusan dan penaja jamin bersama untuk IPO ini. 

CIMB Investment Bank Berhad dan Maybank Investment Bank Berhad ialah bookrunner bersama dan penaja jamin bersama, manakala RHB Investment Bank Berhad ialah penaja jamin bersama.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×