M K Land unjur bangun projek GDV RM240j tahun ini

M K Land unjur bangun projek GDV RM240j tahun ini

AHMAD Soalahuddin Al-Thani Ahmad Termizi ketika ditemubual Utusan Malaysia di Rafflesia Sales Gallery, Damansara Perdana baru-baru ini.-UTUSAN/MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMAJU hartanah, M K Land Holdings Berhad (M K Land) bakal melancarkan projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM240 juta pada tahun ini di sekitar Selangor dan Perak.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Ahmad Soalahuddin Al-Thani berkata, projek tersebut melibatkan pembangunan kediaman mewah, rumah teras dan juga lot komersial.

Katanya, syarikat akan melancarkan fasa empat Rafflesia @ Hill yang melibatkan pembangunan kediaman semi D tiga tingkat dengan GDV sebanyak RM74 juta pada tahun ini yang terletak di Damansara Perdana, Selangor.

“Beberapa pembangunan lain juga akan dilancarkan di Perak meliputi pembangunan komersial di Perdana Centre Point dan rumah teres dua tingkat, masing-masing di Meru Perdana dan juga beberapa perumahan di Klebang Putra, Ipoh,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Galeri Jualan Rafflesia @ Hill di sini, baru-baru ini.

Bagi jualan pula, beliau berkata, M K Land menyasarkan jualan lebih tinggi sekitar RM200 juta pada 2024, berbanding RM190 juta yang dicapai pada tahun lalu.

“Ini akan didorong oleh jualan rumah mampu milik yang telah dilancarkan pada penghujung tahun lepas seperti fasa tiga Taman Bunga Raya di Bukit Beruntung. 

“Selain itu, lokasi dan jenama M K Land yang dipercayai akan memacu dan menarik pelanggan untuk membeli produk kami. 

“Tambahan pula, rumah mampu milik yang kami tawarkan di Taman Bunga Raya adalah rumah atas tanah yang mendapat banyak permintaan,” katanya.

Mengulas mengenai prospek hartanah pada 2024, beliau berkata, pihaknya optimis dalam berhati-hati, didorong oleh permintaan dalam pasaran yang masih tinggi.

Ahmad Soalahuddin berkata, rumah atas tanah yang berharga RM500,000 ke bawah dijangka mendapat permintaan yang tinggi seperti perumahan Taman Bunga Raya yang ditawarkan syarikat hartanah bumiputera tersebut.

“Rumah atas tanah menjadi pilihan terutamanya bagi mereka yang sudah berkeluarga. Selain mempunyai ruang halaman, faktor yang menjadi pendorong pembeli memilih jenis kediaman ini adalah kerana mereka tidak mahu yuran penyelenggaraan yang ada bagi pembangunan bertingkat atau strata.

“Bagi pembangunan bertingkat pula, faktor lokasi akan menjadi pendorong kepada pembeli. Kediaman berorientasikan transit (TOD) iaitu dekat dengan kemudahan transit aliran massa (MRT) dan transit aliran ringan (LRT) akan mendapat banyak permintaan,” ujarnya.

Sementara itu, industri hartanah dijangka berkembang secara realistik, namun tekanan inflasi mungkin memberi kesan pada industri pembinaan.

“Selepas pandemik Covid-19, berlaku peningkatan dari segi kos barang binaan. Kos ini dilihat semakin stabil, tapi kadar pertukaran ringgit yang rendah menyebabkan kos bahan binaan yang diimport meningkat dan memberi kesan keseluruhan pada kos pembinaan.

“Selain itu, peningkatan cukai perkhidmatan dari enam ke lapan peratus juga akan memberi kesan kepada kos industri bahan binaan,” ujarnya.

Beliau memberitahu, bagi menangani peningkatan kos dan masih menawarkan rumah pada harga yang kompetitif, pihaknya mengawal kos binaan dengan pembangunan volum yang lebih besar bagi rumah mampu miliknya.

Tambahnya, reka bentuk kediaman juga akan diseragamkan dengan reka bentuk yang berulang bagi fasa akan datang.

“Reka bentuk yang dibuat adalah lebih kurang sama supaya dapat menawarkan harga yang kompetitif,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×