PETALING JAYA : Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan terlebih dahulu berhubung penahanan seorang pegawai kanan dipercayai terlibat melindungi aktiviti haram di sekitar ibu negara.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan penahanan seorang pegawai kanan di bawah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur semalam.
Kata beliau, sebarang tindakan yang akan diambil oleh pihaknya bergantung kepada hasil siasatan SPRM nanti.
“Kita serah kepada SPRM jalankan siasatan mereka terlebih dahulu, selepas itu, baru kita akan lihat tindakan dari pihak kita,” katanya di sini hari ini.
Kata Allaudeen, pihaknya sama sekali tidak akan berkompromi terhadap salah laku melibatkan mana-mana pegawai dalam soal pelanggaran integriti.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, seorang pegawai kanan bertugas di IPK Kuala Lumpur ditahan SPRM semalam selepas dipercayai terlibat melindungi aktiviti haram di sekitar ibu negara.
Penahanan pegawai kanan di Putrajaya itu turut menemukan sejumlah wang bernilai lebih RM1 juta hasil serbuan beberapa premis disyaki miliknya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan penahanan pegawai kanan terbabit.
Beliau berkata, permohonan reman akan diperoleh SPRM pagi ini bagi proses siasatan lanjut. – UTUSAN









