Mukadimah
————————————————————————————————————————————————-
CUKUP sensitif apabila memperkatakan tentang cukai dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi kebanyakan rakyat di negara ini.
Apatah lagi sekiranya satu-satu pihak mempunyai ‘hutang’ tertunggak dan urusan-urusan lain yang melibatkan LHDN sehinggakan entiti ini turut diperguna dalam jenayah berunsurkan penipuan atau scam.
Hal-hal sedemikian berlaku disebabkan kurangnya pemahaman dan sikap mengambil berat tentang kaedah percukaian di negara ini. Tindakan LHDN ‘memburu’ mereka yang cuba lari daripada membayar cukai terutama syarikat dan tokoh-tokoh korporat besar adalah untuk memberi keadilan kepada mereka yang patuh berbuat demikian.
Justeru Wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLI JALIL, MAISARAH SHEIKH RAHIM dan MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemu ramah Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, DATUK DR. ABU TARIQ JAMALUDDIN bagi mendapatkan penjelasannya. Turut membantu jurufoto FAIZ ALIF ZUBIR.
————————————————————————————————————————————————–
SASARAN KUTIPAN
MINGGUAN MALAYSIA: Sasaran kutipan cukai untuk tahun ini RM197 bilion dan agak tinggi berbanding kutipan diperoleh tahun lepas iaitu RM183 bilion. Bagaimana sasaran tersebut ditetapkan?
ABU TARIQ: Penentuan sasaran diambil kira daripada jangkaan ekonomi dan beberapa faktor lain termasuk trend kutipan.
Ia juga dilihat daripada jangkaan ekonomi pada tahun 2024 ini yang telah dimaklumkan iaitu kadar pertumbuhan ekonomi tahun ini selain daripada trend lain yang ada kaedah penentuannya.
LHDN mempunyai Program Khas Pengakuan Sukarela (PKSP) kali kedua. Bagaimana dengan pelaksanaannya setakat ini?
PKPS 2.0 akan berakhir pada 31 Mei nanti. Setakat 29 Februari lalu, kita menerima sebanyak 72,534 kes pengakuan sukarela melibatkan 38,491 pembayar cukai dengan amaun taksiran sebanyak RM652,456,956 juta.
Jadi, ada lebih kurang dua bulan untuk pembayar cukai mengambil kesempatan dan menyertai program ini kerana mempunyai banyak manfaat.
PENYERTAAN PEMPENGARUH
Berapa ramai instafamous atau pempengaruh yang menyertai PKPS 2.0?
Seramai 17 pempengaruh menyertai PKPS 2.0 dengan jumlah taksiran RM161,822. Jumlah cukai dibayar oleh 10 pempengaruh yang mempunyai amaun cukai paling tinggi bagi tahun taksiran 2022 adalah berjumlah RM1,492,799.85. Jumlah cukai tertinggi dibayar oleh pempengaruh adalah RM223,283.
Instafamous yang belum terima pendapatan dan belum buat pelaporan, PKPS ini program terbaik untuk mereka mengelakkan penalti. Daripada segi pemantauan terhadap mereka, kita ada seksyen khas iaitu Seksyen Ekonomi Digital Dan Behavioural Insights (SEDBI) berkenaan aktiviti perniagaan dalam talian ini dan e-dagang.
Seksyen khas ini diletakkan di bawah Jabatan Pematuhan Cukai melihat semua aktiviti ini secara harian termasuk akaun aktif mereka dan kita akan hubungi mereka untuk kemas kini kedudukan berkenaan cukai mereka.
Seramai 20 pempengaruh kita jadikan sebagai rakan strategik untuk sebarkan maklumat tentang cukai. Malah kita memberi pengiktirafan kepada mereka yang membantu kita.
Berkenaan SEDBI. Setakat ini bagaimana dengan kemajuan seksyen berkenaan?
Seksyen ini mengenal pasti mereka yang tidak patuh. Maklumat akan disalurkan untuk tindakan audit. Kalau selepas diberi notis masih lagi degil, maka kita akan beri notis audit kepada pempengaruh untuk patuh kepada percukaian.
Seksyen ini diwujudkan sejak dua tahun lalu dengan memberi nafas baharu untuk melihat tingkah laku pembayar cukai dan pempengaruh media sosial. Berkemungkinan dia kurang pengetahuan bukannya tak patuh bayar cukai.
Bagaimana pula dengan pemain ekonomi gig dan pelaburan seperti kripto serta bitcoin dalam aspek pematuhan percukaian?
Kita memang ada garis panduan daripada segi percukaian yang dikeluarkan Jabatan Dasar dalam menentukan layanan percukaian terhadap mereka. Kalau di luar negara, apa-apa yang berpunca dari dalam negara sahaja tertakluk di bawah cukai.
Kalau hasil dibawa balik dari luar pun ada beberapa pengecualian diberikan. Asasnya adalah hasil yang berpunca dalam negara. Isu percukaian tertakluk kepada cukai di Malaysia dan melihat transaksi itu berada di mana.
Adakah ia berada di sini? Atau mereka mungkin lakukan transaksi di luar. Jadi, isunya teknikal dan perlu difahami. Apa yang boleh dicukai adalah pendapatan yang puncanya di Malaysia. Kalau di luar negara ia tidak dikenakan cukai.
KETIRISAN
Bagaimana dengan ketirisan cukai yang diisytihar tidak setimpal dengan hasil kekayaan?
Ada kaedah bagaimana kita hendak tentukan mereka yang mempunyai kekayaan luar biasa. Kalau kita lihat nilai aset tinggi dan tidak setanding dengan pelaporan dikemukakan, maka langkah pertama kita akan buat adalah bertanya kepada pembayar cukai bagaimana aset-aset ini diperoleh dan daripada mana sumber kewangan mereka.
Maka di sini bermulanya proses penentuan sama ada cukai telah dibayar atau tidak daripada pendapatan untuk pembelian aset. Sama ada aset rumah atau kenderaan, maka perbandingan akan dibuat. Ini termasuk dalam kalangan pempengaruh. Maka akan jadi satu indikator kuat untuk semakan lanjut terhadap mereka.
RUMAH URUT DAN PELACURAN
Bagaimana dengan pelaporan cukai ekonomi bayangan yang dikaitkan dengan rumah urut dan pusat pelacuran?
Definisi ekonomi bayangan ialah akaun yang kurang lapor atau tidak pernah lapor pun. Ia berkaitan dalam apa sahaja industri, maka kita anggap ia sebagai ekonomi bayangan.
Namun begitu, sudah pasti ada aktiviti haram sebab pendapatan tidak sah dan dalam masa yang sama ia tertakluk pada cukai. Ini sudah tentu tidak dilaporkan.
Mungkin ramai lihat ekonomi bayangan ini hanya berkaitan aktiviti haram sahaja. Sebenarnya ia luas. Begitu juga aktiviti lain yang mendatangkan pendapatan yang tidak dilaporkan. Ia masih menjadi ekonomi bayangan.
Kalau ada terlibat dengan aktiviti haram, LHDN ada bekerjasama dengan agensi lain untuk menangani kes-kes sedemikian. Ada duit haram dan dalam masa mempunyai pendapatan.
PENGELAK CUKAI
Apakah tindakan dikenakan kepada mereka yang cuba mengelak daripada membayar cukai?
Untuk kes-kes yang diaudit, kita akan kenakan penalti. Dalam undang-undang sedia ada, kita boleh kenakan sehingga 100 peratus. Akan tetapi jumlah yang kita kenakan adalah 45 peratus daripada cukai tambahan yang dibangkitkan.
Sebenarnya kadar cukai ada kita nyatakan kepada umum melalui rangka kerja audit kita. Malah kadar penalti dikenakan apabila dilaksanakan aktiviti audit.
Tetapi secara umum, sekiranya tiada isu pertikaian tafsiran undang-undang, ia (penalti) dikenakan sebanyak 45 peratus. Kalau secara sukarela kosong (tiada penalti).
Katakanlah ada yang datang selepas 31 Mei nanti, (tarikh tutup PKPS 2.0), kadar penalti yang dikenakan ialah 15 peratus bukan 45 peratus. Itu pun ada taksiran tambahan.
Adakah LHDN akan tangkap dan terus didakwa di mahkamah bila dikesan tak lapor pendapatan?
Tahun lepas kita beri fokus kepada siasatan pendakwaan di mana kes-kes yang kita rasakan (berpotensi) untuk terus dibawa pendakwaan jenayah di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967. Maknanya kes yang sengaja tidak buat pelaporan.
Jadi, kita ambil kes itu dan dakwa ke mahkamah. Ia bukan melibatkan kerja audit tapi selepas disiasat kerana ada elemen sengaja. Ada banyak pelaporan dibuat dan kes-kes mereka yang mengaku bersalah dan sebagainya.
Ia di bawah Seksyen 112(A) Akta Cukai Pendapatan 1967. Kalau disabitkan kesalahan, seseorang itu boleh didenda dan dikenakan penalti tiga kali ganda daripada cukai atau penjara maksimum enam bulan atau denda tidak lebih RM20,000.
AKAUN LUAR NEGARA
Adakah LHDN berjaya mengenal pasti individu yang mempunyai akaun di luar negara?
Kita mempunyai kerjasama dengan negara lain untuk mendapatkan maklumat berhubung pemilikan akaun rakyat kita.
Contoh rakyat kita ada akaun di Singapura. Pentadbir cukai Singapura akan membantu dan mempunyai tanggungjawab untuk memberi maklumat semua akaun rakyat Malaysia di negara berkenaan. Jadi pertukaran maklumat itu adalah perkara biasa. Kita pula beri maklumat rakyat mereka di sini.
Untuk makluman, setakat 17 Februari lalu, bilangan akaun individu Malaysia di luar negara adalah lebih kurang 2,749,458 akaun. Ini mungkin orang yang sama tetapi mempunyai banyak akaun.
Tahun 2019 kita sudah terima 2.3 juta akaun; 2020 ( 2.2 juta ); 2021 (2.5 juta); 2022 (2.4 juta). Ini akaun yang bukan ditambah. Ia merupakan jumlah akaun yang ada pada tahun itu.
Sekarang ini ada 2.7 juta akaun. Jadi , daripada maklumat ini kita tahu berapa amaun yang ada dalam bank. Kalau kita dapat kenal pasti individu pemilik akaun itu, kita akan padankan dengan pelaporan mereka.
Mungkin dia ada sejuta simpanan di Singapura dan kita tengok dia tiada pelaporan. Tapi kita bukan terus kenakan cukai sebab akaun di luar negara.
Macam prinsip asas tadi, adakah ia daripada aktiviti semasa berada di Singapura? Kalau dia kerja di sana ada sejuta, tidak boleh salahkan dia juga.
Kalau kita tengok banyak amaun di luar negara dan tiada pelaporan cukai, kita akan berhubung dengan negara lain untuk semak apakah punca duit yang ada dalam akaun individu berkenaan di luar negara.
Kalau dia memang ada perniagaan di negara tersebut, itu tidak menjadi masalah. Tetapi kalau tiada apa perniagaan dan duit ini datang dari luar, ini menjadi sebab untuk kami membuat semakan terus.
Perlu diingat mempunyai akaun di luar negara bukan kesalahan. Tetapi duit yang disimpan itu kalau berpunca di Malaysia dan belum dikenakan cukai, itu menjadi satu kesalahan.
CABARAN
Bagaimana Datuk melihat cabaran pembayar cukai?
Secara am baik. Kita bukan sampai ke tahap yang terlalu rendah dan mungkin belum sampai ke tahap tinggi. Masih ada ruang untuk perbaiki. Kalau kita lihat aktiviti audit masih ada pendapatan yang salah lapor.
Bukan itu saja, masih ada lagi pembayar cukai yang tidak melaporkan pendapatan dengan betul. Namun begitu, daripada segi pematuhan secara amnya, kutipan kita sentiasa meningkat dari setahun ke setahun.
Ini secara tidak langsung memberi kesedaran kepada pembayar cukai. Satu perkara paling penting adalah nombor pengenalan cukai atau tax identification number. Mereka yang berumur 18 tahun memang ada nombor pin ini. Secara tidak langsung individu berumur 18 tahun ke atas merupakan pembayar cukai. Dan kalau ada apa-apa aktiviti berkaitan cukai boleh melaporkan berdasarkan kepada nombor yang kita beri lebih-lebih lagi kalau ada pendapatan.

Jadi, tiada isu mengenai pendaftaran. Dulu memang mereka kena datang ke pejabat untuk daftar nombor cukai. Sekarang tidak lagi. Kita harap ini menjadi salah satu inisiatif meningkatkan kesedaran dan tahu tentang tanggungjawab untuk melapor.
Di samping itu, dengan adanya e-invois yang kita akan laksanakan, ia membolehkan pihak LHDN memperoleh data-data perniagaan. Semua maklumat ini akan sampai kepada LHDN melalui e-invois.
Ia dilaksanakan dengan meluas mulai 1 Ogos tahun ini untuk syarikat yang mencecah jualan RM100 juta.
Untuk transaksi ini, apabila keluar invois, ia perlu divalidasi di LHDN. Kalau penjual kereta keluar invois pada pembeli, maklumat invois akan sampai kepada LHDN dan disahkan dulu barulah diberi kepada pembeli.
Apabila invois sudah dikeluarkan, LHDN sudah dapat maklumat. Sebab orang yang membeli barang dalam aktiviti perniagaan akan menuntut ia sebagai perniagaan. Jadi, salah satu keperluan adalah mesti beri barang kepada orang yang keluar invois. Rekod sudah ada untuk pembeli dan penjual.
Untuk pembeli pula, apabila mereka hendak buat tuntutan sebagai perbelanjaan, dia mesti mendapatkan invois daripada perniagaan. Tambahan pula kalau ia di bawah kategori individu yang mempunyai banyak pelepasan.
Justeru apa yang menjadi harapan kita, apabila e invois ini digunakan sepenuhnya, segala maklumat individu dapat direkodkan selepas pembelian. Sementara itu, e-invois akan mula dilaksanakan sepenuhnya pada 1 Julai 2025 dan ambil masa untuk matang antara tiga ke empat tahun. – UTUSAN










