PETALING JAYA: Sebarang cadangan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan yang mengurangkan atau mengambil hak kewarganegaraan sedia ada tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa.
Perikatan Hak Kewarganegaraan Malaysia (MCRA) berkata, pindaan itu memerlukan data kukuh dan pemahaman sepenuhnya berkaitan akibat jangka masa panjang.
“MCRA teguh membantah cadangan pindaan regresif lain dan menantikan untuk melihat sebarang semakan yang mungkin dicadangkan oleh kementerian kepada pindaan asalnya.
“Kami menyokong keperluan untuk menangani isu-isu lama berkaitan dengan migrasi melalui sempadan yang tiada had terutamanya di bahagian Malaysia Timur,” kata badan bukan kerajaan itu dalam kenyataan semalam.
Jelas kenyataan itu lagi, penyelesaian perkara tersebut perlu memfokuskan kepada punca masalah termasuk kawalan sempadan yang lemah, pergantungan ekonomi terhadap buruh migran dan rasuah yang berleluasa.
Kerajaan baru-baru ini mengumumkan hasrat meminda Perlembagaan Persekutuan untuk mengukuhkan jaminan kewarganegaraan yang dilihat dieksploitasi oleh warga asing.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berkata, warga asing yang datang ke Malaysia, melahirkan anak kemudian meninggalkan bayi mereka kerana mengetahui akan dijamin kewarganegaraan mengikut Seksyen 19B, Bahagian III Jadual Kedua Perlembagaan.
Bagaimanapun, selepas dikritik beberapa aktivis sosial dan NGO, Saifuddin kemudian mengumumkan Jemaah Kabinet bersetuju tujuh cadangan pindaan dan hanya satu cadangan ditolak iaitu membabitkan Perkara 14(1)(e) iaitu berkaitan dengan anak-anak terdampar.
Mengulas lanjut, MCRA berkata, meminda Perlembagaan Persekutuan untuk melucutkan hak anak-anak Malaysia tidak akan menyelesaikan masalah asas.
“Jika kerajaan sedang berusaha untuk memperkenalkan penyelesaian melalui penerbitan peraturan atau pekeliling pentadbiran, ia mesti didedahkan secara terbuka dan tertakluk kepada semakan dan kelulusan Parlimen,” katanya. – UTUSAN










