PETALING JAYA: Sime Darby Berhad mengumumkan proses pengambilalihan 100 peratus kepentingan UMW Holdings Berhad (UMW) telah berjaya disempurnakan dengan harga RM5.84 bilion, menjadikannya anak syarikat milik penuh.
Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Berhad, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, pencapaian itu jelas menandakan keyakinan pasaran terhadap hala tuju strategik syarikat serta nilai yang bakal dicipta dengan penyertaan UMW Holdings dalam kumpulan.
Ujarnya, keutamaan kumpulan ialah untuk menyempurnakan penyepaduan UMW ke dalam ekosistem Sime Darby yang lebih luas.
“Memanfaatkan kekuatan bersama, terutamanya dalam sektor automotif dan perindustrian, akan membolehkan kami mengukuhkan kelebihan daya saing serta meluaskan jejak domestik untuk terus memacu pertumbuhan jangka panjang.
“Langkah ini juga sejajar dengan Pelan Induk Strategi 5 Tahun kami untuk mengembangkan perniagaan teras kami, iaitu Perindustrian dan Automotif, di pasaran utama serantau serta mengukuhkan sumbangan keuntungan dari Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Dengan pengambilalihan penting ini, Sime Darby Berhad memperbaharui komitmennya untuk memacu inovasi dan pertumbuhan, sambil menyumbang kepada pembangunan ekonomi Malaysia.
Sementara itu, Pengarah Urusan UMW, Mustamir Mohamad berkata, penyertaan ke dalam keluarga Sime Darby Berhad sebagai salah satu unit perniagaan penting, membuka lembaran baharu yang menarik bagi UMW.
“Ini membolehkan kami memanfaatkan peluang baharu dan berkongsi pengalaman.
“Kami berharap untuk terus berkembang maju sebagai sebahagian daripada kumpulan Sime Darby, sambil memastikan kesinambungan perniagaan dalam proses penyepaduan.
“Kami tetap berpegang kepada komitmen untuk mencapai kecemerlangan untuk semua pihak berkepentingan kami,” ujarnya.
Pada Ogos 2023, Sime Darby mengambil alih 61.2 peratus kepentingan dalam UMW daripada syarikat induknya, Permodalan Nasional Bhd. (PNB) pada RM3.57 bilion, diikuti dengan tawaran am mandatori untuk membeli baki kepentingan ekuiti sebanyak 38.8 peratus pada kira-kira RM2. 27 bilion. – UTUSAN










