Tiada peluang kedua buat Perlis United FC

Tiada peluang kedua buat Perlis United FC

STUART RAMALINGAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rakyat Perlis sudah boleh melupakan terus hasrat untuk melihat skuad Si­nga Utara kembali ke pentas Liga Super apabila Liga Bola­sepak Malaysia (MFL) menegaskan tiada peluang kedua diberikan buat pasukan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam berkata, keputusan First Instance Body (FIB) itu adalah wajar memandangkan setiap garis masa yang ditetapkan telah dilanggar dan tidak dihormati oleh Perlis United FC.

Menurut Stuart, terdapat empat kriteria yang diminta oleh FIB dan tiga daripadanya mempunyai empat garis masa (tarikh akhir) yang berbeza, dan ini bermakna, terdapat kriteria yang dapat diselesaikan dengan cepat namun malangnya tetap gagal.

“Itu merupakan garis masa yang ditetapkan oleh FIB dimana Perlis tidak dapat menghormati tarikh akhir tersebut. Tiga garis masa yang sudah terlepas, tambahan tiga kriteria yang tidak dilengkapkan telah membuatkan FIB kekal mengambil keputusan sedemikian.

“Kita telah cuba sedaya upaya untuk memastikan kita mempunyai 14 pasukan Liga Super, tetapi dengan adanya 13 pasukan musim ini, ia juga tidak akan mengubah kalendar hari perlawanan dan sebagainya.

“Setiap hari perlawanan akan ada satu pasukan yang dapat waktu rehat tambahan, jadi ia tidak mengubah jumlah atau intensiti perlawanan, malah kita memberi ruang bagi setiap pasukan untuk berehat di antara jadual perlawanan yang sedang padat,” kata Stuart.

Terdahulu, MFL memutuskan untuk tidak memberikan Lesen Kebangsaan kepada Perlis bagi beraksi di pentas Liga Super 2024/2025 selepas pasukan berpangkalan di utara tanah air itu gagal memenuhi tiga daripada empat syarat yang ditetapkan.

Susulan itu, keputusan MFL itu, pihak pengurusan Perlis telah menyatakan bahawa mereka akan membuat rayuan terakhir bagi melengkapkan segala kriteria yang diminta oleh pihak FIB demi untuk beraksi di Liga Super.

Dalam masa yang sama, Stuart berharap tindakan tegas MFL diharap dapat membuka mata masyarakat tentang sejauh mana tahap ketegasan MFL dalam mendepani isu tunggakan gaji dan kewangan kelab-kelab di Liga Malaysia (Liga M).

“Kami harap dengan pe­negasan FIB iaitu dari segi penolakan lesen Kelantan FC, penolakan permohonan rayuan terakhir Perlis United, ini dapat menunjukkan bahawa MFL memandang berat terhadap isu gaji ini,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×