ECRL: Pembeli tanah ditawar pampasan RM0.9 juta - Utusan Malaysia

ECRL: Pembeli tanah ditawar pampasan RM0.9 juta

SEBAHAGIAN pembeli bersama Ratna Sheamala Devi (tiga kanan) di hadapan Pejabat Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Selangor selepas menghadiri prosiding urusan penyelesaian pertikaian tuntutan di Klang, Selangor, baru-baru ini. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Seramai enam pembeli lot tanah dekat sebuah kawasan yang akan dibina landasan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ditawarkan pampasan sebanyak RM956,800 terhadap pengambilan hartanah mereka bagi tujuan tersebut.

Manvir Siddhu dan peguam Ratna Sheamala Dewi dari firma guaman Ratna & Associates yang mewakili pembeli berkata, jumlah pampasan itu dimaklumkan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) Selangor dalam prosidingnya, hari ini.

Menurutnya dalam prosiding sama, JKPTG turut memaklumkan pampasan bagi kesan mudarat turut dibayar sebanyak RM775,040 kepada pihak yang terlibat dalam kerja-kerja pembersihan dilakukan bagi pembinaan rumah sebelum ini.

“Jadi jumlah keseluruhan adalah RM1.73 juta, penerima yang dinamakan termasuklah enam daripada 19 lot tanah yang terjejas, pemaju serta pemilik tanah yang asal.

“Bagaimanapun, pihak JKPTGS mengarahkan perbincangan atau kata muafakat dicapai antara tiga pihak berkenaan pembahagian pampasan tersebut mengikut jumlah meter persegi yang pemaju projek ECRL ambil,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu akhbar ini melaporkan pembinaan ECRL berisiko lewat apabila tanah yang terlibat dalam projek itu di Gombak berhadapan tindakan kaveat daripada pembeli di 18 lot tapak di sana.

Ini ekoran 18 lot tanah berkenaan kira-kira 1.3 hektar di Jalan Bentong-Kuala Lumpur dekat Gombak dikatakan telah dijual sejak 12 tahun lalu.

Malah projek itu juga mendedahkan tentang status tanah itu yang masih kekal sebagai pertanian dan tidak berlaku pindah milik walaupun ia telah dijual dengan perjanjian jual beli (S&P) sudah selesai serta transaksi pembayaran dibuat.

Bagaimanapun, (KOPIM) menafikan mereka memeterai perjanjian dengan AZ Land Development Sdn. Bhd. (AZ Land) bagi menjual 18 lot tanah kepada pembeli yang bakal diambil bagi pembinaan projek ECRL.

Dalam pada itu, Manvir dan Ratna Sheamala menjelaskan, pembayaran pampasan itu tidak menyelesaikan keseluruhan isu apabila perkara pokok iaitu soal pemilikan tanah yang menyebabkan hasrat pembeli membina rumah idaman tergendala sejak 12 tahun dahulu masih tergantung.

“Jika selesai pembahagian pampasan ECRL, pembeli masih lagi berdepan soal pemilikan tanah tersebut kerana sebelum ini senyap selama 12 tahun tanpa khabar berita, tiba-tiba bila ECRL masuk baru mereka tahu statusnya masih sama.

“Jadi, saya nasihatkan juga kalau ada pembeli atau sesiapa yang pernah terlibat dalam pembelian hartanah tersebut untuk sebarang projek dinasihatkan untuk tampil supaya isu itu dapat diselesaikan cepat dan tidak mahu ada pertikaian di kemudian hari,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×