SAUDARA PENGARANG,
KAJIAN National Center for Health Research menyenaraikan banyak kebaikan berkhatan. Antaranya ialah individu yang berkhatan dapat mengurangkan risiko kanser zakar, jangkitan HIV dan jangkitan saluran kencing.
Kajian daripada Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Universiti Melbourne menyatakan bahawa berkhatan juga dapat mengurangkan risiko penularan HIV. Secara umumnya, lapisan di bawah kulup terdiri daripada sejumlah besar sel Langerhans.
Kawasan ini biasanya menjadi sasaran kepada pembiakan bakteria dan virus sekali gus membawa kepada jangkitan HIV. Apabila seseorang berkhatan, lapisan kulup akan dibuang. Maka, pembiakan bakteria jahat akan kurang tertumpu di kawasan tersebut. Secara tidak langsung, ini dapat mengurangkan kadar jangkitan HIV.
Individu yang tidak berkhatan mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat jangkitan saluran kencing berbanding individu tidak berkhatan. Childrens Health Hub menyatakan bahawa jumlah dan jenis bakteria yang terdapat di sekeliling zakar bagi kanak-kanak yang tidak berkhatan adalah lebih besar berbanding kanak-kanak yang berkhatan.
Bakteria ini adalah jenis kuman yang boleh masuk ke dalam saluran kencing dan menyebabkan jangkitan pada kawasan tersebut. Justeru, amalan berkhatan mampu mengurangkan jangkitan saluran kencing yang boleh mengganggu reproduksi kaum lelaki jika tidak dirawat dengan segera.
Walaupun berkhatan dilihat mempunyai banyak kelebihannya, namun prosedur pembedahan kecil ini tidak lari daripada komplikasi selepas berkhatan seperti pendarahan dan jangkitan kuman.
Oleh itu, ibu bapa dan waris sewajarnya mendapatkan perkhidmatan berkhatan daripada doktor bertauliah dan tidak memandang enteng terhadap apa-apa komplikasi yang dihadapi oleh anak-anak selepas berkhatan.
Tuntasnya, amalan berkhatan haruslah dilihat dari kaca mata yang lebih luas. Bukan sahaja menjadi tuntutan wajib dalam agama, malah besar manfaatnya dari sudut sains perubatan.-UTUSAN
NURLIYANA ZAWANI IZDIHAR
Mahasiswa Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










