SEGAMAT: Orang ramai dialu-alukan mengambil lebih 10,000 pakaian percuma pada Program Kuru Kuru Kongsi Rezeki-Infak Aidilfitri di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Putra pada Ahad ini.
Program anjuran oleh SK Bandar Putra dan SK Segamat Baru dengan kerjasama pihak SWCorp menyediakan lebih 10,000 pakaian bagi golongan dewasa lelaki dan wanita serta kanak-kanak dan bayi.
Menurut guru penyelaras, Azian Abd. Hamid, turut ditawarkan kasut, samping dan beg.
Katanya, program yang bermula hari ini terbuka kepada warga SK Bandar Putra hingga Jumaat ini, manakala Sabtu bagi warga SK Segamat Baru dan Ahad terbuka kepada orang ramai.
“Kami mengalu-alukan kehadiran orang ramai untuk mengambil pelbagai pakaian Aidilfitri secara percuma hasil sumbangan guru-guru, ibu bapa murid dan hasil sumbangan orang ramai.
“Kuru Kuru ini membawa maksud ‘pusingan’ dalam bahasa Jepun. Jadi, ia sangat bertepatan dengan tema kita, iaitu pakaian ini adalah sumbangan daripada orang ramai dan kembali disumbangkan kepada orang ramai. Dengan tema ‘Dari Kita, Untuk Kita’, orang ramai boleh mengambil pakaian serta barang-barang yang disediakan di sini tanpa had tetapi bukan untuk dijual semula.
“Kami nasihatkan sila ambil barang yang diperlukan sahaja untuk keperluan keluarga masing-masing dan digalakkan untuk bawa beg sendiri untuk membawa pulang pakaian-pakaian ini,” katanya pada majlis perasmian program yang turut dihadiri wakil SWCorp, Muhd Mufarizam Yahir@Yahaya, Guru Besar SK Bandar Putra, Rosnani Aminon, wakil Guru Besar SK Segamat Baru, Johari Wahab dan Guru Penolong Penyelaras program, Nordiana Mohd. Adam.
Azian berkata, program itu juga bertujuan berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan, membantu warga sekolah dan orang ramai membuat persiapan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.da
Sementara itu, Muhd. Mufarizam berkata, pihaknya menyambut baik kerjasama seperti itu dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada warga kedua-dua sekolah serta ibu bapa pelajar yang menyumbangkan pakaian bagi menjayakan program berkenaan.
“Kita berharap program seumpama ini menjadi perintis dan contoh kepada sekolah serta institusi pendidikan lain di sekitar Segamat bagi meringankan beban golongan yang memerlukan. – UTUSAN










